Tuesday 12 July 2011

SAJAK: Peludah Warna- A Samad Said

Peludah Warna

kuasa gusar kini menggelegak murka,
warna kuning diisytihar racun terbisa.
diragutnya baju-T segeram tenaga,
dan diumum itulah busana bahaya.


tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
warna kuning yang teramat tenang dan syahdu,
kita kembalikan damai ke dalam Qalbu.


kini cahaya mentari mungkin diramas,
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
memanglah mereka kini peludah warna,
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.


kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.


-A. Samad Said-

ARTIKEL: Internal Security Act (ISA) Dari perspektif Islam Oleh TJ bhg 2

Wujudkah Akta di mana Tahanan mempunyai hak di bicarakan di bawah akta ISA? 

Terdapat pihak yang pro ISA mengatakan bahawa ISA tidak menzalimi tahanannya kerana terdapat banyak seksyen yang menyatakan bahawa tahanan mempunyai hak untuk di bicara. Penulis artikel tersebut menyebut mengenai 6 seksyen di mana tahanan boleh mempertikaikan kuasa menteri.

Sebelum saya menyentuh mengenai keenam-enam seksyen tersebut, terdapat satu akta dinamaka Essentials (Security Cases) Regulations 1975 atau lebih dikenali sebagai ESCAR yang memberikan secara terperinci peraturansekiranya kes ini hendak di bawa ke mahkamah sesyen atau mahkamah Tinggi (untuk kes yang membawa hukuman mati). Tetapi saya ingin tegaskan bahawa ESCAR hanya boleh digunakan apabila telah dimulakan perbicaraan ke atas OKT. Selagimana tidak ada pemula perbicaraan terhadap tertuduh, selagi itu dia akan terus di tahan di bawah akta ISA.

Sebaliknya, tidak ada akta di dalam ISA yang memperuntuhkkan setelah satu jangkawaktu, OKT hendaklah di bawa ke muka pengadilan untuk dibicarakan.

Kita kembali kepada keenam-enam seksyen tersebut. Kita lihat setiap seksyen tersebut satu persatu dan adakah benar dakwaan tersebut. Kita kena ingat, apa yang kita perlukan adalah satu perbicaraan, tidak sekadar mencabar kuasa penahanan menteri.


Seksyen 79:

“Tanpa menjejaskan bidang kuasa Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan apa-apa kesalahan terhadap Akta ini, selain suatu kesalahan yang boleh dihukum mati, dan untuk menjatuhkan apa-apa hukuman yang ditetapkan baginya tidak melebihi denda sebanyak lima ribu ringgit atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.”

Nah, menurut kesimpulan penulis, “inilah dia satu bukti bahawa ISA mempunyai seksyen untuk membicarakan OKT seperti akta-akta jenayah yang lain”. Baik, mari kita kaji seksyen ini:

Seperti yang saya tulis sebelum ini, sememangnya ISA mempunyai ESCAR untuk tatacara membicara OKT di bawah akta ISA. Tetapi, itu bukanlah satu jaminan bahawa OKT akan dibicara di bawah ESCAR kerana pendakwaraya perlu terlebih dahulu memulakan dakwaan. Dan dakwaan hanya dapat dimulakan apabila telah mendapat arahan dari Peguam Negara yang dilantik oleh Perdana Menteri.

Apa yang dikehendaki di sini, terdapat satu akta yang secara automatiknya setelah satu tempoh masa tahanan, satu proses perbicaraan sama ada di bawah ESCAR atau CPC di wujudkan. Di dalam CPC setelah tempoh reman, maka polis dan pendakwaraya akan menentukan sama ada OKT akan didakwa atau dibebaskan.

Seksyen 8B dan 8C

Seksyen 8B dan 8C menguatkan lagi kuasa Menteri dan Agong apabila tiada mahkamah atau sesiapa pun berhak membuatjudicial review terhadap “budi bicara mereka”. Di sinilah terletaknya satu kuasa yang amat besar sehingga tidak wujud lagi satu kebebasan sepertimana yang dijanjikan oleh Human Rights. Di tangan mereka yang salah dan berkepentingan, ini adalah satu kuasa yang amat besar dan boleh dan telah pun mengakibatkan kerosakan yang amat besar kepada Negara. Seksyen 8B berbunyi:


(1) Tidaklah boleh diadakan apa-apa kajian semula kehakiman (judicial review) di dalam mana-mana mahkamah, dan tiada mahkamah boleh mempunyai atau menjalankanapa-apa bidang kuasa berkenaan dengan, apa-apatindakan yang dilakukan atau keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atau Menteri pada menjalankankuasa budi bicara mereka mengikut Akta ini, kecualimengenai apa-apa persoalan tentang pematuhan apa-apa kehendak tatacara dalam Akta ini yang mentadbir tindakan atau keputusan itu.

Perhatikan bunyi akta di atas. TIDAK ADA mahkamah pun berhak mempersoalkan budi bicara menteri menahan tahanan di bawah akta ini dalam apa juga bidang KECUALI yang berkenaan dengan prosedur penahanan. Ini membawa maksud, sekiranya prosedur penahanan di patuhi, maka tidak ada kuasa yang mampu melakukan check and balance kepada penahanan tersebut sama ada ia valid atau tidak. Kita kena ingat, prosedur penangkapan dengan bukti penangkapan dan pertuduhan adalah dua perkara berbeza.

Seksyen 8C menyebut, Judical Review ini termasuklah:
(a) prerogatif mandamus, larangan dan certiorari;
(b) Permohonan untuk mendapatkan deklarasi atau injunksi; atau
(c) Writ habeas corpus; atau
(d) “Apa-apa guaman lain, tindakan atau prosiding undang-undang lain yang berhubungan dengan atau berbangkitdaripada apa-apa tindakan yang dilakukan atau keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atau Menteri mengikut Akta ini. ” Maksud ayat terakhir ini, kecuali judicial review. Sesiapa hanya boleh mempersoalkan mengenai prosedur atau proses penangkapan sahaja dan bukan mempersoalkan sama ada bukti, pertuduhan, atau tuduhan tersebut berasas atau tidak.

Di sini jelas besarnya kuasa menteri untuk menahan seseorang. Tetapi ada penulis berhujah bahawa ada sebenarnya satu badan yang menjadi Check and Balancekepada akta ini. Beliau menyatakan bahawa adalah satu penipuan dan fitnah bahawa keputusan menteri tidak boleh dipertikaikan dan tidak boleh di cabar. Benarkah begitu? Baik, kita lihat akta yang menyatakan terdapat satu badan yang di namakan LEMBAGA PENASIHAT (Advisory Board).


Lembaga Penasihat: Representasi Terhadap Perintah Tahanan

ULASAN TJ: Seksyen 11 (1) dan (2)(a) ini merupakan satu lagi prosedur yang menyatakan bahawa OKT harus diberitahu mengenai haknya tentang representasi di lembaga penasihat.

11. (1) Suatu salinan tiap-tiap perintah yang dibuat oleh Menteri di bawah sub seksyen 8(1) hendaklah dengan seberapa segera yang boleh selepas dibuat disampaikankepada orang yang dimaksudkan olehnya, dan tiap-tiap orang itu berhak untuk membuat representasi terhadap perintah itu kepada Lembaga Penasihat.

(2) Bagi maksud membolehkan seseorang untuk membuat representasi di bawah sub seksyen (1) dia hendaklah, pada masa perintah itu disampaikan kepadanya:

(a) Diberitahu mengenai haknya untuk membuat representasi kepada Lembaga Penasihat di bawah subseksyen (1); dan

(b) Diberikan oleh Menteri suatu pernyataan bertulis-

(i) Mengenai alasan yang atasnya perintah itu dibuat;

(ii) Mengenai pernyataan fakta yang atasnya perintah itu diasaskan; dan

(iii) Mengenai apa-apa butir lain, jika ada, yang pada pendapat Menteri mungkin semunasabahnya dikehendaki olehnya supaya dapat dia membuat representasi terhadap perintah itu kepada Lembaga Penasihat.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh membuat kaedah tentang cara bagaimana representasi boleh dibuat di bawah seksyen ini dan bagi mengawal selia tatacara Lembaga Penasihat.


Tetapi siapakah Lembaga Penasihat ini? Adakah ia mempunyai kuasa seperti mahkamah untuk membicarakan OKT? Apakah orang kena tahan mempunyai hak untuk didengar dan mempunyai peguam bela? Adakah ia akan mengikut tatacara mahkamah yang biasa?

Secara asasnya badan penasihat ini terdiri daripada:


(2) Sesuatu lembaga penasihat yang ditubuhkan bagi maksud Perkara ini hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan yang menjadi atau pernah menjadi atau yang layak menjadi, hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, atau yang pernah menjadi seorang hakim Mahkamah Besar sebelum Hari Malaysia, dan dua orang anggota lain yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. (Fasal 151(2) Perlembagaan Persekutuan)

Kalau kita perhatikan di sini sememangnya pengerusi kepada Lembaga Penasihat ini adalah seorang hakim dari mahkamah Tinggi atau di atas. Tetapi, kalau kita baca seksyen 12(1) kita akan tahu bahawa bidang kuasa lembaga penasihat ini hanyalah memberi syor kepada yang dipertuan agung dan bukannya memberi sebarang keputusan kepada orang yang ditahan. Jadi di mana kelebihannya mempunyai lembaga penasihat?

Di dalam dunia sebenar, lembaga penasihat hanyalah menjadiadministrative tools kepada kerajaan. Tugasnya tidak lain hanya “MEMBERI NASIHAT” kepada menteri dan agong mengenai tahanan dan kemudian membuat syor. Bukannya mempunyai judiciary power seperti mahkamah biasa. Inilah maksud Review yang boleh dilakukan oleh lembaga penasihat di bawah seksyen13. Sila baca seksyen 13(2) yang berbunyi:


“Lembaga Penasihat hendaklah, apabila selesai tiap-tiap kajian semula di bawah sub seksyen (1), dengan serta-merta menyerahkan kepada Menteri suatu laporan bertulis mengenai tiap-tiap kajian semula itu, dan boleh membuat dalamnya apa-apa syor yang difikirkannya patut.”

Syornya, tidak semestinya diikuti oleh yang dipertuan Agong walaupun Agong mempunyai hak mempersoalkan penahanan Menteri di bawah Seksyen 12(2), tetapi kita sendiri mengetahui bahawa seorang Agong, bukanlah seorang yang layak menjadi hakim dan menentukan hukum kerana baginda tidak dilatih dan di lantik untuk tujuan itu.

Keduanya, di dalam realitinya, sewaktu lembaga penasihat mendengar si ditahan, di dalam kebanyakan dia tidak diwakili peguambela dan di dalam kes terdapat peguam, topic representasi tersebut bukan berkisar kepada bukti tuduhan tetapi berkisar kepada persoalan proses penahanan sama ada mengikut prosedur atau tidak. Ia juga lebih bersifat administrative daripada bersifat kehakiman. Ini berlaku kerana di dalam akta ini tidak menyebut mengenai representasi dari peguam dan inilah yang sedang dan telah berlaku secara nyata bagi tahanan ISA.

Ketiga, lembaga penasihat ini hanyalah meneliti alasan Menteri dalam penahanan tersebut tanpa perlu si ditahan membela diri dari tuduhan tersebut. Lembaga penasihat juga tidak mempunyai kuasa mempertikaikan sama ada bukti penahanan itu valid atau tidak. Mereka kemudian mengesorkan kepada Yang Dipertuan Agong yang kemudian akan memberi keputusan sama ada membenarkan penahanan itu atau tidak (S12(2)).

Keempat, betul Lembaga penasihat mempunyai hak untuk menilai setiap arahan pada setiap enam bulan. Tetapi, setelah menilai arahan dari menteri tersebut, apa bidang kuasa Lembaga penasihat? Adakah mereka boleh membatalkan arahan tersebut? Adakah mereka boleh mengubahnya? Adakah mereka boleh mempertikaikan dan mencabar arahan tersebut sekiranya ia didapati ultra variesatau bercanggah dengan mana-mana akta? Jawapannya TIDAK. Ini kerana s13(2) menyatakan:

“Lembaga Penasihat hendaklah, apabila selesai tiap-tiap kajian semula di bawah sub seksyen (1), dengan serta-merta menyerahkan kepada Menteri suatu laporan bertulis mengenai tiap-tiap kajian semula itu, dan boleh membuat dalamnya apa-apa syor yang difikirkannya patut.”

Jelas menurut subseksyen 2 ini bidang kuasa Lembaga penasihat kepada menteri hanyalah memberi syor apa yang patut. Akta ini umumnya, dan seksyen ini khususnya TIDAKmemberi apa-apa kuasa kepada Lembaga penasihat seperti yang saya sebutkan di atas.

Sekarang kita lihat, di mana di bawah akta ini seorang di tahan itu boleh membela diri? Badan penasihat hanya melihat “alasan menteri” tetapi tidak langsung mempunyai hak mempersoalkan sebab tahanan dan melihat bukti-bukti penahanan. Malah OKT pun tidak mempunyai hak membalas dan menjawab apakah bukti dan alasan-alasan tersebut benar-benar wujud atau tidak. Adakah ini adil?

Kesimpulan:

Setelah kita meneliti perkara di atas secara mendalam, di sini kesimpulan terhadap undang-undang ISA ini;

1. Polis boleh menahan sesiapa sahaja tanpa waran dan sekiranya berpangkat di bawah inspector, kurang dari 24 jam. Dengan kebenaran inspector, selama 48 jam dan dengan kebenaran penolong penguasa, selama 30 haari dan dengan kebenaran ketua polis setelah dimaklumkan menteri, OKT boleh ditahan sehingga selama 60 hari. Menteri kemudian, boleh membenarkan OKT di tahan sehingga 2 tahun dan dilanjutkan lagi 2 tahun berikutnya dan seterusnya mengikut “budi bicara” Menteri.

2. Akta ini tidak menyebut mengenai tempoh masa seseorang itu boleh ditahan sehingga dibicarakan. Malah akta ini tidak menyebut bahawa OKT boleh dibicarakan setelah ditahan dalam tempoh masa tertentu seperti prosedur biasa.

3. Bidang kuasa Lembaga Penasihat amat terbatas dan sekadar sebagai administrative tools kepada Agong dan menteri. Mereka tidak mempunyai apa-apa kuasa sekalipun melainkan sekadar sebagai “penasihat” kepada Agong dan menteri. Terpulang kepada Agong dan menteri sama ada mahu menerima nasihat tersebut atau tidak.

4. Sesiapapun tidak dibenarkan membuat judicial review terhadap apa-apa budi bicara Menteri dan Agong di bawah akta ISA dalam melakukan arahan Tahanan dan sekatan.

5. OKT tidak mempunyai hak membela diri dan diperdengarkan kesnya apabila alasan tahanannya di dengar di depan Lembaga Penasihat.

3. Cadangan untuk penggubalan ISA: 

Bagi saya ISA tidak perlu dimansuhkan secara total. Ini kerana procedure di dalam akta ISA boleh digunapakai bagi menguatkan prosedur kesalahan jenayah pemberontakan di bawah Fasal VI Kanun keseksaan (Penal Code (PC)). Tetapi ada perkara perlu di mahsuhkan, ditambah dan dibaiki dan ini adalah cadangan saya:

1. Memasukkan seksyen tambahan bagi membolehkan sebarang pembuktian di lakukan seperti mana tahanan di bawah akta Criminal Procedure Code (CPC).
2. Menteri boleh di maklumkan tetang penahanan, tetapi mahkamah mesti mempunyai hak tertinggi membatalkan sebarang tanahan di atas sebab-sebab melanggar peraturan undang-undang.
3. OKT di bawah ISA mesti di hadapkan di hadapan mahkamah yang adil untuk di bicara setelah habis tempoh 30 atau 60 hari.
4. Kuasa menteri menyambung tahanan sehingga 2 tahun di mansuhkan.
5. Seksyen yang menyentuh bahawa tidak boleh ada semakan kehakiman (Judicial Review) dimansuhkan.
6. Advisory board di bentuk bagi memantau pelaksaan ISA dan kuasanya di tambah sehingga boleh membatalkan arahan menteri.
7. Seksyen 8(1) di batalkan.
8. Proses mahkamah adalah seperti mana yang termaktub di dalam CPC.

Dengan erti kata lain, Akta ISA ini menjadi satu pelengkap kepada CPC dan bukannya satu akta dan prosedur yang berdiri sendiri. Mana-mana akta di dalam ISA yang bercanggah dengan CPC dan PC di anggap terbatal dan CPC dan PC akan mengambil alih.

4. Prinsip Proses jenayah (criminal Procedure) dalam Islam dan undang-undang Malaysia. Adakah bertepatan dengan ISA? 

Al Quran dan Hadis yang menjadi sumber perundangan umat Islam, tidak menyebut secara khusus mengenai Prosedur jenayah (Criminal Procedure). Al Quran dan hadis, sebaliknya, banyak menyebut mengenai Penal Code (Kanun Kesiksaan) seperti jenayah Hudu, qisas dan takzir.

Namun begitu, Prosedure mahkamah Jenayah di sebut di banyak tempat di dalam Al Quran dan hadis dan di sini kita akan melihat bagaimana sebenarnya dari aspek spirit dan tatacara ISA itu sendiri, ia sebenarnya bercanggah dengan Islam.

i) Sumber undang-undang

Adalah suatu yang diketahui bahawa sumber undang-undang Islam ialah Al Quran, hadis, Ijma’ dan Qiyas ulama. Kita tidak akan menyentung panjang mengenai perkara ini

ii) Keadilah sebagai satu perkara daruri.

Al Quran banyak menyentuh mengenai keadilan. Malah Islam itu sendiri sebenarnya membawa maksud keadilan dan itulah yang dicanangkan sejak dahulu lagi. Keadilan ini dijamin oleh Islam sepertimana tertulis di dalam surah Al Maidah ayat 8:

"Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kalikebencianmu terhadap satu kaum, mendorong untuk kamu berbuat tidak adil. Berlaku adillah karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan".

iii) Prinsip Perundangan (Principle of Legality)

Untuk memulakan dengan Prinsip perundangan ini, prinsip “nullum crimen nulla poena sine lege” atau bermaksud tidak ada sesiapa boleh di jatuh hukum jenayah tanpa kehadiran undang-undang yang boleh menghukum pada masa perbuatan tersebut dilakukan adalah salah satu prinsip perundangan yang terdapat juga di dalam Islam.

Prinsip ini melindungi kita dari penyalahgunaan kuasa oleh para hakim (atau mana-mana pihak yang mempunyai kuasa terhadap undang-undang. Dalam kes ISA, Menteri dan Agong) dan memberi jaminan keselamatan kepada individu mengenai apa perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

Di dalam Islam, kita tidak didatangkan dengan hadis atau ayat Quran yang menyebut secara khusus perkara ini. Tetapi, terdapat beberapa ayat yang menyebut mengenai prinsip ini. Allah berfirman:
“ Kita tidak akan menghukum sesuatu kaum sehinggalah kita mengutuskan seorang rasul” Al Qasas 28:59

Allah swt sendiri yang mempunyai pengetahuan melangkaui langit dan bumi sendiri bersikap adil sehinggakan tidak akan menghukum sesuatu kaum itu sehingga setelah di hantarkan utusan kepada mereka bagi menyampaikan.

Allah juga berfirman: “Allah telah memaafkan apa yang telah berlalu. Dan barangsiapa kembali mengerjakannya, nescaya Allah akan kembali menyiksanya.” Al Maidah: 95.

Secara dasarnya ayat-ayat ini membawa maksud bahawa tidak ada hukuman tanpa kewujudan undang-undang yang boleh menghukum kesalahan tersebut.*

*Muhammad S a l im a l - ‘Awwa , The basis of Islamic Penal Legislation, in: Mahmoud Cherif Bassiouni (ed.), (note 3), 149-169, (134); Abdal-Madjid Mahmud a l -Ma t l u b , Al- asl bara’at almuttaham, in: Al-Muttaham wa-huququhu fi ash-shari‘a al-islamiya, Al-Markaz al-‘arabi lid-dirasat al-amniya wat-tadrib bi r-Riyadh (ed.), vol. I, 1986, 201-242; K ame l , supra note 3, 158 et seq.; H u s s e i n, supra note 2, 36 et seq.; Mohammad Hashim Kama l i , The Right to Personal Safety (Haqq al- Amn) and the Principle of Legality in Islamic Shari ‘a, in: Muhammad Abdel Haleem/Adel Omar Sherif/Kate Daniels (eds.), (note 2), 57-96, (69 et seq.).

iv) Prinsip Tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah

Di dalam undang-undang Hak asasi Manusia antarabangsa disebut: “Everyone charged with a criminal offence shall have the right to be presumed innocent until proved guilty according to law.”
Prinsip ini bukannya satu prinsip yang bercanggah dengan Islam, malah sebenarnya ia menjadi satu perkara asas di dalam perundangan jenayah Islam itu sendiri.

Di dalam Islam, semua manusia di anggap suci dan bersih dari dosa bila dilahirkan. Prinsip ini berbeza dengan prinsip Original sin orang Kristian yang menganggap bahawa semua pada asalnya menanggung dosa nabi Adam. Dengan ini juga, seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibutikan sebaliknya. (Husain M i h r p u r , Sarguzasht-i ta ‘zirat, Madjalla-yi kanun-i wukala 148/149 (1989), 13-66.)

Konsep ini juga selari dengan konsep istishab yang membawa maksud bahawa anggapan di dalam undang-undang pembuktian (law of evidence) bahawa keadaan sesuatu perbuatan yang telah wujud pada masa lampau akan terus wujud sehingga perubahan telah dibuktikan.

Konsep ini membawakan kita kepada prinsip seterusnya.

v) Beban pembuktian (onus of proof) ke atas pendakwaraya

Undang-undang barat meletakkan bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya kerana beban pembuktian (onus of proof) terletak di atas bahu pendakwaraya untuk membuktikan tertuduh bersalah dan bukannya terletak pada tertuduh untuk membuktikan dia tidak bersalah. Prinsip barat terhadap perkara ini ialah “He who alleges, asserts” – “Dia yang menuduh, membuktikan”.

Prinsip Islam juga begitu. Rasullulah saw menyebut perkara ini:

“Beban pembuktian adalah ke atas mereka yang membuat tuduhan, sementara itu sumpah pula kepada mereka yang menidakkannya” (Mohammad Hashim Kama l i , The Right to Personal Safety (Haqq al-Amn))

Prinsip undang-undang barat ialah: “Lebih baik membebaskan 10 orang yang bersalah, dari menghukum seorang yang bersalah.” Prinsip ini selari dengan hadis rasullulah saw dan pesanan baginda kepada para hakim agar member perhatian kepada kes yang menimbulkan keraguan. Sabda baginda: “Elakkan menjatuhkan hukuman hudud berdasarkan sangkaan atau keraguan dan sekiranya tertuduh mempunyai jalan keluar, bebaskan dia. Adalah lebih baik untuk pemerintah mengampunkan secara tidak sengaja dari menghukum secara tidak sengaja (ie menghukum yang tidak bersalah)” (Hussian Ibid)

vi) Prinsip Tertuduh Berhak Membela Diri

Salah satu prinsip yang penting di dalam satu perbicaraan yang adil adalah prinsip pembelaan diri. Di dalam Islam, prinsip pembelaan diri tidak disenaraikan secara khusus sebagai salah satu prinsip prosedur Jenayah, tetapi ia di sebut secara jelas di dalam Al Quran dan as Sunnah menjadikan ia satu prinsip keadilan yang tidak boleh dianggap mudah.

Satu peristiwa di mana Nabi saw memberikan kuasa sebagai gabenor kepada Ali r.a dan berkata kepadanya: “wahai Ali, orang ramai akan datang kepadamu untuk mendapatkan keadilan. Sekiranya dua orang datang kepadamu untuk mendapatkan nasihat, jangan memutuskan untuk seorang lagi sebelum kamu mendengar perkara yang sama dari satu pihak lagi. Ia lebih baik untuk keadilan jelas kepadamu dan untuk kamu mengetahui apa yang benar.” (Awad M. Awa d , The Rights of the Accused under Islamic Criminal Procedure, in: Mahmoud Cherif Bassiouni (ed.), (note 3), 91-107, (97).)

Juga peristwa yang saya apabila khalifah umar dikhabarkan member nasihat kepada beberapa orang hakim dengan berkata: “Sekiranya seseorang yang telah dibutakan matanya oleh orang yang lain datang kepadamu (meminta putus hukuman), jangan kamu memutuskan sehingga pihak yang satu lagi hadir. Kerana mungkin orang yang satu lagi telah dibutakan kedua matanya. (Awad)

Salah satu aspek di dalam pembelaan diri ialah hak tertuduh untuk bercakap atau terus berdiam diri. Ini juga hak yang terdapat di dalam Criminal Procedure Code Malaysia. Ini juga merupakan pendapat secara umumnya ulama Islam yang mana tertuduh tidak diwajibkan bercakap ketika di hadapkan di mahkamah dan sekiranya dia hendak mengaku bersalah, dia mestilah melakukannya tanpa sebarang tekanan.(Awad) Prinsip ini juga di amalkan di Malaysia dimana sebarang pengakuan mestilah bebas dari unsur ugutan, tekanan dan janji-janji. (Awad)

Majoriti ulama juga menolak pengakuan hasil daripada penderaan/penyiksaan (Taha Djabir A l - ‘Alwa n i , Huquq al-muttaham fi marhalat at-tahqiq, Al-Markaz al-‘arabi lid-dirasat al-amniya wat-tadrib bi r-Riyadh (ed.), (note 4), vol. I, 15-50, (42 et seq.); Ahmad Abdallah a l -Ha l i f a , Al- I‘tiraf au al-iqrar ghair al-iradi, Al-Markaz al-‘arabi lid-dirasat al-amniya wat-tadrib bi r-Riyadh (ed.), (note 4), vol. II, 87-126, (102 et seq., 116 et seq.); Kama l i supra note 4, 81 et seq.) berdasarkan kepada hadis “Allah akan menyiksa sesiapa yang mendera orang lain” (Awad)

5. FAQ mengenai ISA

S: Polis mengatakan mereka telah mempunyai bukti kukuh untuk menahan penjenayah di bawah ISA. Bukankah ini cukup untuk menjustifikasikan tahanan di bawah ISA?

J: Kalau ada bukti kukuh, kenapa tidak di dakwa?


S: ISA adalah untuk jenayah yang belum dilakukan, tetapi polis mempunyai syak yang kuat ia akan berlaku berdasarkan siasatan yang ada. Bukankah ini suatu perkara yang membolehkan ISA?

J: Syak semata-mata tidak membolehkan seseorang itu didapati bersalah. Sekiranya terdapat bukti yang kukuh, maka dakwalah mereka di mahkamah yang adil. Kenapa takut untuk mendakwa mereka kalau bukti yang dimaksudkan sudah cukup.

S: Terdapat satu hadis di mana nabi membenarkan ISA berdasarkan kes usaib bin Haidir. Bukankah ini justifkasi ISA?

J: Ingin saya tegaskan bahawa saya tak menjumpai hadis tersebut di dalam kitab hadis bukhari, Muslim ataupun Muwatta. Penulis tidak menyatakan di mana hendak mencari hadis tersebut. Ini kerana untuk dijadikan sumber hukum, hadis tersebut mestilah satu hadis yang sahih.

Tetapi, hanya sebagai satu perbincangan, katakanlah hadis tersebut sahih. Terdapat beberapa kepincangan di dalam pendapat tersebut.

Pertama, hadis tersebut bercanggah dengan hadis-hadis yang sahih yang lain menggesa agar didengari pendapat kedua-dua pihak.

Kedua, hadis tersebut tidak habis diriwayatkan. Apa terjadi selepas itu? Berapa lama lelaki tersebut di tahan?

Ketiga, peristiwa ini, kalau benar-benar berlaku, menjadi hujah kepada tahanan reman dan bukannya tahanan tanpa bicara.

Dan yang terakhir sekali, sekiranya peristiwa ini benar, kita boleh mengkhususkan hadis ini kepada nabi saw kerana baginda mendapat wahyu dari Allah swt secara terus bagi menjamin keselamatan baginda. Berbeza dengan diri kita yang tidak menerima wahyu. Kaedah ini digunapakai oleh ulama agar membezakan sunnah baginda sebagai seorang nabi dan sunnah baginda sebagai manusia biasa.


S: Bukankah tahanan reman, tahanan tanpa jamin sebelum perbicaraan dan ISA itu sama?

J: Seksyen 28 CPC dan Artikel 5(5) Perlembagaan Malaysia memberi peruntukan agar tertuduh dibawa kehadapan majistret sekiranya dia hendak di tahan sehingga 24 jam. Seksyen 117 CPC juga menyediakan ruang bahawa memberi jaminan bahawa maksima bagi tahanan reman ialah 14 hari. Kemudian polis dan pendakwaraya hendaklah memutuskan sama ada hendak mendakwa atau pun membebaskan tertuduh.

Berbeza dengan ISA, akta ISA membenarkan OKT di tahan tanpa diberikan tarikh bila dia akan dibicarakan dimahkamah yang adil.

S: Adakah terdapat alternative kepada ISA? Adakah undang-undang Malaysia tidak mencukupi untuk menghadapi penjenayah?

J: Sewaktu perbincangan dengan seorang rakan yang tidak pasti mengenai undang-undang ISA, beliau bertanya “Apakah akan pincang Negara kita sekiranya akta ISA tidak ada? Apakah undang-undang Negara tidak cukup menghadapi penjenayah Negara kita? Adakah tidak ada alternative lain?”

Persoalan-persoalan ini saya simpulkan di dalam satu jawapan.

Undang-undang Negara kita sudah cukup menghadapi penjenayah pemberontakan atau jenayah berat yang lain.

I. Fasal VA Penal Code (PC – Kanun Kesiksaan) menyentuh mengenai Konspirasi Jenayah.
II. Fasal VI PC pula menyentuh dari seksyen 121 sehingga seksyen 130A mengenai Jenayah Menentang Negara (Offence Against the State).
III. Fasal VIA di tambah kemudian untuk kesalahan Jenayah Teroris (Offence Relating to Terrorism) dari seksyen 130b sehingga seksyen 130r dan ditambah pula dengan
IV. Fasal VII mengenai “Kesalahan Berkaitan dengan Pasukan Beruniform” (Offence Relating to Armed Forced). Adakah ini tidak cukup untuk melindungi Negara dari pemberontak dan penjenayah perang?
V. Malah kita juga mempunyai undang-undang untuk menahan mereka yang belum lagi melakukan jenayah tetapi telah merancang dan hampir melakukannya. Ini di namakan sebagai undang-undang Cubaan Jenayah atau Attempted law yang termaktub di dalam s511 Penal code (Act 574).
VI. Begitu seksyen 130t di bawah akta yang sama di bawa Fasal VIA yang membolekan cubaan menangkap mereka yang merancang melakukan jenayah atau cuba melakukan jenayah tetapi tidak berlaku seperti yang di kehendakinya.

Ini membawa maksud, seseorang yang telah merancang untuk melakukan jenayah atau cuba untuk melakukan jenayah boleh di tahan di bawah Penal code dan Criminal Procedure code. Sekiranya sabit, OKT boleh di jatuhkan hukuman mengikut akta-akta yang sedia ada dan mengikut prosedur jenayah biasa.

Jadi, apa bezanya dengan ISA? Bezanya, di bawah undang-undang di atas, anda mempunyai hak seperti mana kes jenayah biasa, yakni untuk didengari di dalam mahkamah yang adil, di wakili oleh peguam dan juga di bentangkan kes jenayah seperti procedure biasa.

S: Kemudian seorang rakan bertanya: “kalau dia pandai mengupah lawyer yang hebat, mesti dia akan terlepas?”


J: sekiranya satu bukti itu kukuh dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang, tidak kira sehebat mana seorang peguam itu, dia tidak akan dapat mengubah apa-apa hakikat. Ini kerana kita kena ingat bahawa seorang hakim juga mempunyai pengalaman dan pengetahuan undang-undang standing dan ada yang lebih hebat dari mana-mana peguam.

Kebanyakan kes terlepas bukan semata-mata kerana kehebatan peguam. Mereka terlepas juga bukan kerana kepincangan undang-udang dalam kebanyakan kes. Tetapi, dalam kebanyakan kes tidak kepatuhan kepada peraturan dan procedure penahanan ataupun pembuktian yang tidak cukup menyebabkan OKT tidak didapati bersalah dalam mahkamah. Untuk memahami maksud saya, lihat cerita CSI di rangkaian AXN Astro.

Di sini kita jelas bahawa dalam kes biasa sekalipun pihak polis boleh melakukan kesilapan dalam penyiasatan. Apa yang menjamin bahawa ISA tidak terlepas dari menahan orang yang tidak bersalah dan lebih teruk tanpa bicara?

S: “Tetapi menurut satu cerita, memang orang yang ditangkap tersebut didapati mempunyai senjata merbahaya dan terdapat banyak bukti ke atas mereka untuk di tahan di bawah ISA”

J: Kalau betul ada bukti kukuh, maka dakwa lah mereka. Ini kerana bagi saya amat merbahaya membiarkan seorang yang benar-benar bukti kukuh pemberontakan telah ada pada mereka tetapi dibiarkan ditahan bertahun-tahun di bawah ISA kerana undang-undang pemberontakan memperuntukkan hukuman mati kepada pemberontak.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pembebasan beberapa tahanan di bawah ISA yang dikatikan dengan JI. Bagi Dato Seri Najib, ia adalah satu “gula-gula” untuk meredakan rakyat tentang polisi barunya setelah memegang tampuk pemerintahan. Bagi Gerakan Mansuh ISA, ia adalah satu kemenangan. Bagi saya, ia adalah satu tindakan yang kurang bijak dan merbahaya. Kenapa?

Kalau benar mereka yang ditahan ini mempunyai bukti kukuh pengikut JI, mereka sebenarnya amat merbahaya. Maka, kalau benar ada bukti dakwa mereka dan sekiranya sabit kesalahan mereka boleh di jatuhi hukuman mati. Sekarang kita tidak akan tahu sama ada mereka benar-benar bersalah atau tidak.

Ini kerana tidak ada pembuktian dilakukan di mahkamah yang adil sebagaimana yang sepatutnya di lakukan. Pelik juga kerana mereka ditahan lebih dari 2 tahun atas dasar “ada bukti” telibat dalam jenayah pemberontakan, tetapi kemudian boleh dibebaskan. Kenapa tiada dakwaan? Mana bukti-bukti yang dikatakan wujud tersebut? Bukankah ini suatu tindakan merbahaya membebaskan seseorang yang didapati ada “bukti” sebagai pemberontak ke atas mereka begitu sahaja? Apakah mereka benar-benar pemberontak merbahaya sehingga selayaknya ditahan di bawah ISA? Kita tidak akan tahu kerana tidak ada pembuktian dimahkamah dilakukan.

Bibliografi:

1. Akta ISA
2. ESCAR
3. Criminal Procedure Code
4. Penal code
5. Perlembagaan Malaysia
6. Tulisan Ust Ali Muda: ISA dari perspektif Islam
7. Tulisan sdr MOHD KHAIRUL AZAM ABDUL AZIZ. Presiden Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM).
8. Al quran dan buku-buku hadis
9. Nota Certificate Legal Practice (CLP)
10. Banyak lagi buku yang saya lupa nak ambil tajuk dan penulis.*

WALLAHUALAM
TOK JANGGUT

ARTIKEL: Internal Security Act (ISA) Dari perspektif Islam Oleh TJ bhg 1

ISA: Pandangan dari sisi undang-undang Jenayah Malaysia dan Syariah Islam

Oleh:
Tok Janggut LLB (hons) UK (tok_janggut11@yahoo.co.uk)

Pendahuluan

Secara umumnya, ISA bukan lah isu baru untuk diperbincangkan. Pada hemat saya, selagi mana pemerintah masih melihat ISA sebagai satu “insuran” sebagai satu undang-undang untuk menyelamatkan dirinya, ia tidak akan di ubah bagi memenuhi kepentingan umum. Dan sekiranya ia di gubal sekalipun, sebagaimana penggubalannya sebelum ini yang berlaku sebanyak 15 kali (Lihat Panduan Undang-Undang Am, Jilid I, International Law Book Services, K. Lumpur, 1998, m.s: 177), ia tetap akan di bentuk mengikut neraca yang memberi kelebihan kepada mereka yang berkepentingan.

Di dalam penulisan ini, saya akan membawakan:
1. secara ringkas prosedur penahanan dan perbicaraan yang biasa di bawah Criminal Procedure Code (CPC),
2. mengupas maksud sebenar Akta ISA berdasarkan akta Internal Security Act 1960 (Act 82), Penal Code (PC) dan Criminal Procedure Code (CPC) dari perspektif pengamal undang-undang.
3. Juga serba sedikit mengenai undang-undang ISA dari perspektif Shariah dan
4. rekemondasi saya terhadap Akta ISA (sama ada patut di mansuh atau diserap ke dalam CPC dan PC).
5. Insya-Allah, sedikit sebanyak, saya juga akan cuba menjawab sebaik mungkin persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh penulis-penulis yang telah mengungkapkan hujah-hujah mereka menyokong ISA dari perspektif syarak dan undang-undang Malaysia itu sendiri.

Sekiranya pembaca mendapati tulisan ini terlalu panjang, demikian adalah kesimpulan kenapa saya menganggap ISA adalah satu undang-undang yang tidak adil dan patut di mansuhkan:

ISA adalah satu undang-undang yang menafikan penglibatan satu badan bebas yang adil dan juga arif tentang undang-undang (badan kehakiman) dari memantau pelaksanaan udang-undang ini dari peringkat penahanan sehingga lanjutan pelaksaaan. Namun, yang paling utama, TIDAK ada di dalam akta ini satu jaminan bahawa setelah di tahan dalam tempoh masa tertentu, Orang Kena Tahan (OKT) mempunyai hak untuk diperdengarkan di hadapan mahkamah yang adil untuk membela diri. Bagi pihak yang berhujah mendakwa wujud peruntukan tempoh untuk membela diri, hujah sedemikian sebenarnya lemah dan tertolak dan menunjukan orang yang membaca akta ISA tiak memahami akta ISA dan kaedah undang-undang(dibahaskan secara panjang lebar di bawah). Baiklah, mari kita lihat bukti dan penghujahan saya:


1. Prosedur tahanan jenayah biasa sebagaimana termaktuk dalam Criminal Procedure Code (CPC) ialah: 

I) Polis boleh menahan OKT untuk siasatan tidak lebih dari 24 jam.
II) Sekiranya pihak polis hendak melanjutkan siasatan, dalam masa 24 jam, dia hendaklah di bawa ke hadapan majistret dan kesnya dibentangkan bagi tujuan memohon lanjutan reman. Sekiranya Majistret berpuas hati, polis memerlukan masa tambahan, OKT boleh ditahan maksima 14 hari. Pada masa ini, peguam OKT boleh memperdebatkan jumlah hari yang di minta oleh polis sekiranya OKT mempunyai peguam.
III) Setelah tamat tempoh reman yang diberikan oleh Majistret, polis mestilah sama ada membebaskan ataupun mengenakan dakwaan (to charge) OKT di mahkamah.
IV) Sekiranya di bawa ke mahkamah untuk di tuduh, kesnya di bacakan di hadapan majistret untuk mendapatkan pengakuan OKT sama ada bersalah atau tidak.
V) Sekiranya OKT mengaku bersalah, dia akan di jatuhkan hukum. Tetapi sekiranya OKT minta di bicarakan, maka dia akan di bicarakan di mahkamah mengikut bidang kuasa. Jenis mahkamah bergantung kepada jenis jenayah.
VI) OKT yang minta bicara akan memohon untuk mendapatkan jamin. Di dalam undang-undang Malaysia, jamin (bail) terbahagi kepada bailable (boleh jamin), non bailable, dan unbailable. Non-bailable adalah kes yang boleh di jamin tetapi mengikut budi bicara mahkamah dan ada pembahagian tertentu. Sementara itu, unbailable adalah kes yang tidak boleh di jamin langsung dan selalunya melibatkan kes dadah dibawah s41B(DDA) 1952, s12FIPA 1971 dan Peraturan 9 ESCAR 1975 (tahanan di bawah ISA).
VII) Sekiranya sampai tarikh perbicaraan, OKT yang telah atau tidak di jamin, akan DIBICARAKAN.

2. ISA Secara Ringkas

Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Akta 82) diluluskan oleh Parlimen pada 1960 dan disemak semula pada 1 Ogos 1972. ISA telah dipinda beberapa kali bermula dari 1962 dan kali terakhir dipinda pada 24 Ogos 1989. (Fakta di ambil berdasarkan tulisan Ustaz Ali Muda dan juga penulisan saudara Mohd Khairul Azam Abdul Aziz Presiden Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM).)

Intipati ISA

Intipati ISA adalah seperti berikut:

Kuasa Menteri untuk Menahan dan Membuat Sekatan

Seksyen 8 Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Akta 62) menyebut bahawa seorang Menteri (dalam konteks ini, Menteri dalam Negeri (Nota Pesuruhjaya ms 83 Akta ISA)) mempunyai 2 bidang kuasa untuk memerintahkan penahanan atau sekatan seseorang yang disyaki di bawah akta ini “jikaMenteri berpuas hati bahawa penahanan mana-mana orang perlu dengan tujuan untuk mencegahnya daripada bertindak dengan apa-apa cara yang memudaratkankeselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya, menteri boleh membuat suatu perintah (kemudian daripada ini disebut perintah tahanan) yang mengarahkan supaya orang itu ditahan bagi apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua tahun.” (s8(1))

Menteri dalam Negeri ini menurut Seksyen 8 secara perundangannya memiliki dua jenis kuasa iaitu;
i) kuasa mengeluarkan Perintah Tahanan (Seksyen 8(1) dan
ii) Perintah Sekatan.(seksyen 8(5))

Tempoh masa Menteri boleh memberi arahan untuk tahanan

Untuk menahan lebih dari 60 hari dengan kadar maksima 2 tahun, seksyen 8(1) memperuntukkan bahawa Menteri boleh membenarkan OKT di tahan selama tempoh tersebut dengan tidak melebihi 2 tahun.

Tetapi akta ini tidak berhenti di sini sahaja. Setelah hampir tamat tempoh 2 tahun tersebut, s8(7) membenarkan menteri menyambung lagi tahanan tersebut tidak melebihi 2 tahun dan tahanan ini boleh jadi atas dasar penahanan yang sama dari penahanan awal (s8(7)(a)), dasar penahanan yang lain dari penahanan awal (s8(7)(b)), atau sebahagian dari dasar penahanan awal dan sebahagian dari penahanan baru (s8(7)(c)).

Kuasa Polis Menahan dan Melaksanakan Tahanan

Kuasa Menahan OKT menurut seksyen 73 ialah mana-mana polis, tanpa melihat kepada pangkat, boleh:

1. Menahan suspen tanpa memerlukan waran (s73(1)) sekiranya dia memenuhi syarat-syarat berikut:

(a) Ada alasan yang kukuh di bawah seksyen 8.


Dengan kata lain, mereka yang mempunyai besar dan amat luas ini yakni kuasa perintah tahanan dan perintah sekatan kini bukanya terletak pada seorang hakim atau mahkamah. Ia sebaliknya terletak pada seorang eksekutif yang bukannya seorang yang arif tentang tatacara undang-undang dan maksud undang-undang itu sendiri.

Sekiranya Negara kita menjaga kepentingan pengasingan kuasa (separation of power) maka kerajaan harus menyedari sekiranya kuasa tidak di bahagi dan dipantau, ia boleh disalahgunakan. Pepatah Inggeris ada mengatakan: “Absolute power, corrupts absolutely”.



2. “Mana-mana pegawai polis boleh tanpa waran menangkap dan menahan sementara menunggu penyiasatan, mana-mana orang yang selepas disoal oleh pegawai itu gagal untuk memuaskan hati pegawai itu tentang identitinya atau tentang maksud yang baginya dia berada di tempat dia ditemui dan yang disyaki oleh pegawai itu telah bertindak atau hampir bertindak mengikut apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagian di dalamnya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya.” (subseksyen 2)

ULASAN TJ: seksyen 73 (1) dan (2) adalah satu bidang kuasa polis yang amat luas. TANPA memerlukan waran dan cukup dengan sekadar sangkaan (S73(1)(b)), seorang polis boleh menahan sesiapa sahaja di bawah akta ISA sekiranya orang itu “gagal memuaskan hati pegawai tersebut tentang indentitinya atau tentang maksud yang baginya dia berada di tempat dia ditemui.”

Peristiwa ini berlaku sewaktu dato Seri Anwar Ibrahim ditangkap pada tahun 1998 di rumah beliau. Dengan tanpa sebarang amaran, sepasukan pasukan khas polis ala tentera telah menyerbu masuk dan menahan Dato Seri Anwar tanpa memerlukan sebarang waran dan tanpa perlu menyebut kenapa dia ditangkap.


Tempoh Tahanan

3. Mana-mana orang yang ditangkap di bawah seksyen 73 ini boleh ditahan selama tempoh tidak melebihi enam puluh hari tanpa suatu perintah tahanan dibuat berkenaan dengannya di bawah seksyen 8:

Dengan syarat bahawa:

(a) Dia tidak boleh ditahan lebih daripada dua puluh empat jam kecuali dengan kebenaran seorang pegawai polis yang berpangkat atau yang berpangkat lebih tinggi daripada Inspektor;

(b) dia tidak boleh ditahan lebih daripada empat puluh lapan jam kecuali dengan kebenaran seorang pegawai polis yang berpangkat atau berpangkat lebih tinggi daripada Penolong Penguasa; dan

(c) dia tidak boleh ditahan lebih daripada tiga puluh harimelainkan jika seorang pegawai polis yang berpangkat atau yang berpangkat lebih tinggi daripada Timbalan Penguasa telah melaporkan hal keadaan penangkapan dan penahanan itu kepada Ketua Polis atau kepada seorang pegawai polis yang ditetapkan oleh Ketua Polis bagi maksud itu, yang dengan serta-merta hendaklah melaporkan perkara yang sama kepada Menteri.

KUPASAN TJ: s73(3) ini amat penting. Sekiranya kita lihat dari subseksyen 1 di atas tadi, kita akan dapati bahawa kesimpulan prosedur s73 ialah seperti berikut:

1. Polis berpangkat inspektor ke bawah boleh menahan OKT di bawah akta dalam jangka masa kurang dari 24 jam. Sekiranya pihak polis hendak menahan sehingga 48 jam, mereka mestilah mendapat kebenaran daripada seorang yang berpangkat inspektor dan ke atas.

Perhatikan penggunakan perkataan “kebenaran” di dalam subseksyen ini. Maksudnya, prosedur lanjutan penahanan tidak lagi dilakukan oleh seorang majistret, tetapi di lakukan oleh pihak polis sendiri. Tujuan undang-undang mengadakan hakim/majistret ialah supaya terdapat check and balancedan separation of power di kalangan eksekutif (polis) dan kehakiman (judiciary). Di dalam konteks ini, polis telah memegang peranan eksekutif dan juga judiciary (hakim). Maka prinsipcheck and balance tersebut telah terhapus. Bagaimana orang yang mempunyai kepentingan (polis) melakukan check and balance kepada dirinya sendiri?

2. Polis boleh menahan OKT selama 30 hari dengan kebenaran penolong penguasa (juga pegawai polis) dan ke atas.( Hanya selepas 48 jam di tahan, barulah dia akan di rujuk kepada Menteri dalam Negeri.) Sekali lagi perkataan “dengan kebenaran” dan hujahnya seperti di atas.

3. Polis kemudian boleh melanjutkan tahanan dari 30 hari kepada 60 hari setelah pegawai yang mempunyai pangkat lebih tinggi dari penolong penguasa, atau yang telah diberi kuasa oleh ketua polis, memberi laporan kepada ketua polis dan menteri mengenai penangkapan tersebut.

Maksudnya di sini agak jelas. Apa yang polis perlu lakukan untuk melanjutkan tahanan dari 30 hari ke 60 hari, ialah cukup sekadar dengan menyerahkan laporan atau dengan kata lain memaklumkan penangkapan di bawah akta ini kepada menteri. Menteri tidak perlu member sebarang kebenaran dari menteri (Baca S73(3) yang menyebut “boleh ditahan selama tempoh tidak melebihi enam puluh hari tanpa suatu perintah tahanan”) atau pertikaian di sisi seorang hakim sepertimana kaedah memohon tahan reman biasa. Cukup sekadar “melaporkan” kepada menteri, dan sekiranya tidak ada bantahan dari menteri, maka terus OKT boleh dilanjutkan tahanannya selama 30 hari sehingga maksima 60 hari.( Maksima 60 hari ini tidak memerlukan surat kebenaran dari Menteri dalam Negeri. Cukup dengan beliau tahu bahawa terdapat OKT yang di tahan di bawah ISA. Penahanan selama maksima 60 hari tanpa perlu kebenaran bertulis ini termaktub dalam s73(3) akta ISA.)

4. Dan setelah 60 hari, laporan akan diberikan kepada menteri. Menteri kemudian mempunyai kuasa sama ada membebaskan atau melanjutkan tahanan sehingga 2 tahun (s8(1)) dan selepas 2 tahun, boleh dilanjutkan kepada 2 tahun lagi (s8(7)), dan seterusnya tanpa menyebut bila kesnya boleh didengar di mahkamah. Persoalannya, adakah ini yang dinamakan satu akta yang adil?


ULASAN TJ: Perbezaan ketara di antara ISA dan hukum jenayah biasa ialah perkataan DIBICARAKAN di hadapan mahkamah yang adil. Mahkamah yang adil ini biasanya akan mempunyai hakim, peguamcara dan peguambela. Terdapat juga procedure mengambil bukti, pembuktian, saksi dan sebagainya.

OKT diandaikan TIDAK bersalah sehinggalah di buktikan “dibalik keraguan munasabah (beyond reasonable doubt)” bahawa dia bersalah oleh mahkamah yang adil.

Sekiranya dia bersalah, atau tidak bersalah, maka mana-mana pihak yang telah kalah dalam perbicaraan mempunyai 2 kali hak untuk merayu di mahkamah yang lebih tinggi.

Tetapi bagaimana pula di dalam ISA? Di dalam ISA, tidak wujud majistret, peguambela, peguamcara, ataupun hakim mahkamah tinggi untuk membicara dan memutuskan (kecuali dalam kes inquiry yang akan di bentangkan nanti). Jadi sekiranya polis dan menteri sendiri yang sememangnya dilantik sebagai pelaksana (eksekutif) yang menangkap, dan kemudian dalam masa yang sama boleh menjadi hakim yang membicarakan atau menentukan prosedure, di mana apa yang kita nyatakan sebagai keadilan? Di mana check and balance di dalam akta ini?

Satu-satu badan eksekutif perlukan satu badan bebas bagi memantau agar mereka tidak melangkaui bidang kuasa (ultra varies) dan sentiasa mengikut procedure. Di dalam kes polis, badan yang akan memberi check and balance kepada mereka ialah judiciary (kehakiman) bagi memasitkan setiap procedure di ikuti mengikut acuan yang telah ditentukan oleh undang-undang.

Polis, walau pun mereka berada di dalam bidang undang-undang, bukanlah pakar di dalam undang-undang untuk menentukan atau menilai satu-satu bukti. Polis, di dalam satu-satu kes jenayah, adalah orang yang berkepentingan di dalam kes tersebut. Mereka mempunyai apa yang dipanggil “conflict of interest” sekiranya mereka sendiri menentukan sama ada prosedur mereka betul atau tidak. Ia sama seperti seorang ayah di lantik menjadi hakim kepada kes jenayah anaknya. Ini adalah salah satu kes konflik of interest.

ARTIKEL: Internal Security Act (ISA) Dari perspektif Islam v1

1. pengenalan ringkas

ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah satu akta yang diwujudkan oleh parlimen Malaysia yang mula berkuatkuasa di Malaysia Barat pada 1hb. Ogos 1960 dan di Malaysia Timur pada ‘Hari Malaysia’ (16hb. September 1963). Akta yang dinamakan sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Akta 82) dan tersohor dengan singkatan ISA ini bertujuan mencegah tindakan ancaman oleh sekumpulan orang yang substantial dari dalam dan luar Malaysia:
i) untuk menyebabkan keganasan berancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu; dan
ii) untuk mendapatkan perubahan, dengan apa-apa cara lain daripada cara yang sah, (terhadap) Kerajaan Malaysia yang sah ditubuhkan menurut undang-undang.
Sehingga tahun 1969, akta ini telah mengalami perubahan dan pindaan sebanyak tidak kurang daripada 15 kali, iaitu sekali pada tahun 1962, tiga kali pada 1963 dan juga 1964, dua kali pada 1965, masing-masing tiga kali pada 1966 dan 1969 dan sekali pada 1989. Sejak 1989, tiada sebarang pindaan tercatat sehingga hari ini. (LihatPanduan Undang-Undang Am, Jilid I, International Law Book Services, K. Lumpur, 1998, m.s: 177)
Melihat kepada tujuan penggubalan akta ini, ia jelas bermaksud mencegah perbuatan keganasan yang mengancam keselamatan negara dan percubaan menggulingkan secara tidak sah (subversif) sebuah kerajaan yang tertubuh dengan sah di bawah perlembagaan negara (melalui pilihan raya demokrasi). Menurut bekas Presiden Majlis Peguam, Haji Sulaiman Abdullah, Majlis Peguam membantah akta ini kerana berpegang kepada sebab-sebab yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Kedua (Tun Abdul Razak) ketika beliau membentangkan ISA di Parlimen dahulu atas sebab ancaman subversif dan pengganas komunis (Mingguan Malaysia, 25 Jun 2000). Sepatutnya bila pergerakan dan ancaman komunis telah tidak wujud lagi, akta ini dimansuhkan terus oleh Parlimen. Tetapi nampaknya kelebihan majoriti 2/3 wakil UMNO/BN di Parlimen sehingga kini lebih berminat untuk mengekalkan akta ini demi survival kediktatoran mereka mencengkam rakyat yang tidak mengikut arus perdana.
Berdasarkan objektif mencegah ancaman keganasan dan subversif, nampaknya ia tidak bertentangan dengan prinsip maslahah `aammah(kepentingan awam) yang dibawa oleh Islam, jika kerajaan yang tertubuh itu adalah kerajaan yang adil dan menjalankan tanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat.
Tetapi sejarah membuktikan bahawa kewujudan akta ini menjadi lesen terbesar bagi pihak kerajaan untuk menjustifikasikan bahawa pihaknya sentiasa benar, sentiasa memelihara ketenteraman awam atau kepentingan rakyat. Dalam masa yang sama kerajaan memilikisuper power untuk menekan suara kedua atau pendapat alternatif yang cuba dibangkitkan oleh sejumlah rakyat, yang tidak mampu dijawab dengan memuaskan oleh kerajaan. Sedangkan rakyat yang memerhati dapat memahami bahawa ‘ketenteraman awam atau kepentingan rakyat’ yang dilaung-laungkan itu, dalam banyak keadaan adalah ketenteraman dan kepentingan politik dan kedudukan pihak pemerintah.
Penangkapan musuh-musuh politik para pemimpin pemerintah pada tahun 70-an seperti A. Samad Ismail, Said Azhari dan lain-lain, penangkapan di bawah Operasi Lalang 1987 dan penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan seperjuangannya dengan bermulanya kes pemecatan beliau pada September 1998, adalah amat sukar untuk diterima bahawa akta ini digunakan untuk tujuan memelihara ketenteraman negara. Lebih-lebih lagi apabila memerhatikan sebab-sebab tangkapan di bawah akta ini terhadap tujuh aktivis reformasi pada 10 dan 11 April lepas (beberapa hari menjelang penyerahan memorandum rakyat kepada Suhakam, 14hb. April 2001), penangkapan Dr. Badrul Amin Baharom pada 20 April, Lokman Noor Adam 24 April dan Pak Din 27 April lalu.
2. Seksyen yang digunakan dalam kes tahanan ISA terkini
Dalam rencana ini saya akan menumpukan peristiwa penahanan sepuluh orang (setakat ini) aktivis reformasi sebagai bahan kajian, untuk melihat sejauh mana kedudukan akta yang juga ditafsirkan sesetengah orang sebagai ‘Ikut Suka Aku’ ini daripada pandangan Islam.
Menurut sumber polis, para aktivis reformasi itu ditahan di bawah seksyen (s.) 73 (1) ISA. Sebelum menyebutkan seksyen yang digunakan untuk membuat penahanan itu, eloklah kita sebutkan secara salinan semula beberapa seksyen penting yang menarik untuk kita ketahui daripada keseluruhan 85 seksyen (termasuk s. 9, s. 84 dan beberapa subseksyen yang telah dimansuhkan) yang terdapat di bawah akta ini.
Perlu diterangkan bahawa s. 8 akta ini dipecahkan kepada subseksyen-subseksyen seperti berikut:
S. 8 (1) “Jika Menteri berpuas hati bahawa penahanan mana-mana orang adalah perlu dengan tujuan mencegahnya daripada bertindak dalam apa-apa cara yang mendatangkan mudarat kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau kepada penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kepada kehidupan ekonominya, Menteri boleh membuat suatu perintah(yang kemudian daripada ini disebut perintah tahanan) mengarahkan bahawa orang itu ditahan bagi apa-apa tempoh tidak lebih daripada dua tahun.
Melalui Akta A705 (1969) penambahan (pindaan) telah dibuat ke atas s. 8 (1) ini dengan menyatakan bahawa penahanan dalam ‘tempoh peralihan’ antara Akta ibu (iaitu akta asal, yang digubal pada 1960) dan Akta A705 ini (1969), adalah sah dan menurut undang-undang; dan dengan menyatakan bahawa “Tiada tindakan guaman, pendakwaan, atau apa-apa jua pun prosiding undang-undang lain daripada apa-apa perihalan atau dalam apa-apa bentuk , boleh dibawa, dimulakan atau dikekalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan selepas mula berkuatkuasanya Akta ini…
S. 8 (2) Dalam subseksyen (1) “perkhidmatan perlu”, ertinya apa-apa perkhidmatan, perniagaan, tred, perusahaan, pengilangan atau atau pekerjaan yang termasuk dalam Jadual Ketiga (senarai perkhidmatan perlu kepada orang awam – penyalin)
S. 8 (3) Tiap-tiap orang yang ditahan menurut suatu perintah tahanan hendaklah ditahan di mana-mana tempat (yang kemudian daripada ini disebut tempat tahanan) sebagaimana Menteri boleh mengarahkan dan mengikut apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Menteridan apa-apa kaedah yang dibuat di bawah subseksyen (4).
S. 8 (4) Menteri boleh melalui kaedah-kaedah memperuntukkan bagi penyenggaraan dan pengurusan tempat-tempat tahanan dan bagi disiplin dan perlakuan terhadap orang-orang yang ditahan di dalamnya, dan boleh membuat kaedah yang berlainan bagi tempat-tempat tahanan yang berlainan.
S. 8 (5) Jika Menteri berpuas hati bahawa bagi apa-apa maksud yang tersebut dalam subseksyen (1) adalah perlu supaya pengawalan dan pengawasan diadakan ke atas mana-mana orang atau bahawa sekatan-sekatan dan syarat-syarat dikenakan ke atas orang itu berkenaan dengan aktiviti, kebebasan bergerak atau tempat kediaman atau pekerjaannyatetapi bahawa bagi maksud itu adalahtidak perlu untuk menahannya, Menteri boleh membuat satu perintah (yang kemudian daripada ini disebut perintah sekatan)mengenakan ke atas orang itu semua atau apa-apa sekatan dan syarat berikut:
(a) bagi mengenakan ke atas orang itu apa-apa sekatansebagaimana dinyatakan dalam perintah itu berkenaan dengan aktiviti dan tempat kediaman dan pekerjaannya;
(b) bagi melarangnya daripada berada di luar rumah di antara apa-apa waktu sebagaimana dinyatakan dalam perintah, kecuali di bawah kebenaran suatu permit bertulis yang diberi oleh mana-mana pihak berkuasa atau orang sebagaimana dinyatakan sedemikian;
(c) bagi menghendakinya memberitahu pergerakannya dalam apa-apa cara pada sesuatu masa dan kepada mana-mana pihak bverkuasa atau orang sebagaimana dinyakatan dalam perintah itu;
(d) bagi melarangnya daripada berucap di perjumpaan awamatau daripada memegang jawatan dalam, atau mengambil bahagian dalam aktiviti atau bertindak sebagai penasihat kepada mana-mana organisasi atau persatuan, atau daripada mengambil bahagian dalam aman-mana aktiviti politik; dan
(e) bagi melarangnya daripada mengembara luar dari sempadan Malaysia atau mana-mana bahagiannya yang dinyatakan dalam perintah itu melainkan mengikut kebenaran yang diberikan kepadanya oleh mana-mana pihak berkuasa atau orang sebagaimana dinyatakan dalam perintah itu.
S. 8 (6) Tiap-tiap perintah sekatan hendaklah terus berkuatkuasa bagi apa-apa tempoh, tidak lebih daripada dua tahun, sebagaimana dinyatakan di dalamnya, dan boleh meliputi suatu arahan oleh Menteri bahawa orang yang berkenaan dengannya arahan itu dibuat, hendaklah mengikat suatu bon dengan atau tanpa penjamin dan dengan apa-apa jumlah sebagaimana dinyatakan bagi pematuhan sewajarnya sekatan-sekatan dan syarat-syarat yang dikenakan ke atasnya.
S. 8 (7) Menteri boleh mengarahkan supaya jangka masa apa-apa perintah tahanan atau perintah sekatan dilanjutkan bagi apa-apa tempoh selanjutnya, tidak lebih daripada dua tahun, sebagaimana dinyatakan olehnya, sama ada –
(a) atas alasan-alasan yang sama seperti mana perintah asal dibuat;
(b) atas alasan-alasan berlainan daripada alasan-alasan atas mana perintah asal dibuat; atau
(c) sebahagiannya atas alasan-alasan yang sama dan sebahagiannya atas alasan-alasan yang lain;
Dengan syarat bahawa jika suatu perintah tahanan dilanjutkan atas alasan-alasan yang berlainan atau sebahagiannya atas alasan-alasan yang berlainan, orang yang kepadanya perintah itu berkaitan, hendaklah mempunyai hak-hak yang sama di bawah seksyen 11 (salinan perintah daripada Menteri dan hak rayuan kepada Lembaga Penasihat – penyalin) seolah-olah perintah yang dilanjutkan sebagaimana tersebut dahulu adalah suatu perintah baru, dan seksyen 12 (1) (Lembaga Penasihat menimbang dan membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa tiga bulan dari tarikh rayuan diterima atau lebih lanjut berdasarkan perkenan Yang di-Pertuan Agong – penyalin) adalah terpakai dengan sewajarnya.
S. 8 (8) Menteri dari semasa ke semasa dengan notis bertulis bolehmenyampaikan kepada seseorang yang adalah subjek suatu perintah sekatan mengubah, memotong atau menambah apa-apa sekatan atau syarat yang dikenakan ke atas orang itu oleh perintah itu, dansekatan-sekatan dan syarat-syarat yang diubahkan dan apa-apa sekatan atau syarat tambahan yang dikenakan hendaklah, melainkan terlebih dahulu dipotong, terus berkuatkuasa bagi bahagian tempoh yang belum tamat yang dinyatakan di bawah subseksyen (6) atau (7)”.
Selain subseksyen di atas, ada beberapa pecahan lain lagi yang tidak perlu disebutkan semuanya di sini.
Manakala S. 73 (1) pula menyebutkan, “Mana-mana pegawai polisboleh menangkap dan menahan tanpa waran mana-mana orang sebelum selesai siasatan yang berkenaan dengannya dia mempunyai sebab untuk mempercayai-
a) bahawa ada alasan-alasan yang akan menjustifikasikan penahanannya di bawah seksyen 8; dan
b) bahawa dia telah bertindak atau hampir bertindak atau mungkin bertindak dengan apa-apa cara yang mendatangkan mudarat, kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau kepada penyenggaraan perkhidmatan yang perlu di dalamnya atau kepada kehidupan ekonominya.”
S. 73 (2) “Mana-mana pegawai polis, sebelum selesai siasatan, boleh menangkap dan menahan tanpa waran mana-mana orang yang selepas disoal oleh pegawai itu gagal untuk memuaskan hatipegawai itu mengenai identitinya atau mengenai maksud-maksud dia berada di tempat di mana dia dijumpai, dan pegawai itu mengesyakiorang itu telah bertindak atau hampir bertindak dengan apa cara yang mendatangkan mudarat kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagian di dalamnya atau kepada penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalam atau kepada kehidupan ekonominya.”
S. 73 (3) “Mana-mana orang yang ditangkap di bawah seksyen ini boleh ditahan selama tempoh tidak lebih daripada enam puluh haritanpa suatu perintah tahanan dibuat berkenaan dengannya di bawah seksyen 8.”
Berdasarkan sebutan seksyen 73(1) di atas, adalah difahami bahawa aktivis reformasi itu ditahan dengan kuasa polis atas alasan-alasan yang sama seperti alasan arahan penahanan oleh Menteri dalam seksyen 8(1), iaitu untuk mencegah daripada bertindak dalam apa-apa cara yang mendatangkan mudarat kepada keselamatan Malaysia; ATAU atas alasan bahawa para aktivis itu “telah bertindak atau hampir bertindak atau mungkin bertindak dengan apa-apa cara yang mendatangkan mudarat, kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau kepada penyenggaraan perkhidmatan yang perlu di dalamnya atau kepada kehidupan ekonominya.”
3. Tuduhan militan
Maka Ketua Polis Negara pun memberitahu alasan penahanan mereka itu ialah kerana mereka didapati merancang mencetuskan demontrasi jalanan besar-besaran bercorak militan menjelang pilihan raya umum 2004. Dikatakan ‘bercorak militan’ kerana kononnya pihak polis mendapat maklumat mereka merancang menggunakan alat letupan seperti bom dan molotov cocktail. Namun sehingga kini polis belum berupaya menunjukkan kepada umum barang-barang kes, memaklumkan tempat di mana dan bila mereka membuat pertemuan sulit itu atau ucapan sulit mereka yang dikatakan ingin mengadakan demonstrasi ‘militan’. Apabila disoal tentang bukti ‘rancangan jahat’ aktivis reformasi itu di Parlimen, Timbalan Menteri Dalam Negeri Chor Chee Heung berkata itu ‘top secret’ polis, tak boleh ditunjuk atau diberitahu kepada umum.
Satu perkara yang amat tidak masuk akal, bahan bukti dan bukti tuduhan dianggap sebagai ‘top secret’. Kalau begitu sesiapa pun boleh ditahan oleh polis dan boleh diarah ditahan oleh Menteri Dalam Negeri dengan alasan ‘mengancam keselamatan awam’. Bila ditanya apakah bukti orang itu dituduh mengancam keselamatan awam, pihak berwajib pun menjawab, “itu top secret polis, tak boleh bagi tau…”.
Ketua Polis Negara (KPN) pula apabila didesak bertubi-tubi oleh wartawan tentang adakah polis menemui sebarang senjata sebelum atau semasa penahanan aktivis itu, jawapan yang diberikan amat tidak bertanggungjawab, “… the tongue is mightier than weapons…”. (Harakah, 1-15 Mei, 2001) Ini jelas menunjukkan bahawa tiada sebarang senjata yang boleh dijadikan bukti kewujudan unsur perjuangan reformasi secara ‘militan’ yang menjadi alasan penahanan aktivis itu. Satu-satunya senjata yang mereka miliki ialah ‘lidah,’ yang disifatkan oleh KPN sebagai ‘lebih bahaya daripada senjata’. Jadi mereka ditangkap kerana berjuang dengan senjata ‘lidah’.
Nampaknya di Malaysia sekarang, bercakap dan berucap menjadi kesalahan, apabila ucapan dan percakapan itu tidak searus dengan aliran perdana yang memerintah. Polis boleh menangkap anda kerana bersenjatakan lidah (atau pena) mengkritik elit politik negara atas dakwaan membangkitkan perjuangan ‘militan’ dan ‘mengancam keselamatan negara’. ‘Militan’ tidak lagi merujuk kepada senjata api, bom dan pertempuran berdarah, tetapi dengan tafsiran baru iaitu ‘senjata lidah yang lebih bahaya daripada senjata api’.
Ini sudah jadi macam sebuah police state, atau sebuah negara yang mempunyai polis rahsia seperti Israel. Polis menjadi polis, penyiasat, pendakwa dan hakim dalam satu masa untuk menjatuhkan hukuman di mahkamahnya sendiri (ibu pejabat atau balai polis). Apa sudah jadi dengan ‘negara Islam’ Malaysia ini? Polis bukan lagi memberi ketenteraman kepada rakyat, tapi sudah jadi alat untuk menekan dan menyakitkan rakyat, bermaharajalela dan berlagak seperti samseng di bawah seksyen 73 ISA, terutama terhadap rakyat yang tidak menyokong kerajaan.
Apa tidak samsengnya kalau segala tindakannya langsung tidak boleh dipersoal? Kalau dipersoal pun, si penyoal tidak berhak untuk mendapat jawapan tentang alasan sebenar penahanan itu dan bukti bagaimana alasan itu timbul. Polis juga mendapat kuasa menceroboh tanpa arahan mahkamah (waran) premis-premis persendirian seperti tindakan ala Desprado yang berlaku semasa penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim di rumahnya. Polis juga telah membuktikan samsengnya di bawah akta ini melalui peristiwa lebam mata bekas Timbalan Perdana Menteri itu semasa dalam tahanan. Bahkan polis diberi lesen untuk melepaskan tembakan jika orang yang diperintah untuk ditahan cuba melarikan diri – S. 74 (2) ISA. Ini juga semacam polis rahsia Israel, Mossad.
Mungkin polis berhujah mereka bertindak menurut kuasa dan undang-undang yang diperuntukkan dalam ISA. Undang-undang itu diluluskan oleh Parlimen yang dianggotai oleh wakil-wakil rakyat sejak 1960. Soalnya adakah undang-undang yang bertentangan semangat demokrasi, Deklarasi Hak Asasi Manusia, Perlembagaan, lebih-lebih lagi bertentangan dengan hukum Islam, wajib dilaksana dan dikuatkuasakan juga oleh polis yang bertanggungjawab kepada ‘negara Islam’ Malaysia ini? Sedangkan banyak laporan tentang salah laku anggota pemerintah yang tidak dibuktikan proses penyiasatannya oleh polis, apatah lagi hendak menangkap. Dalam menguatkuasakan undang-undang yang memberi keuntungan kepada pemerintah dan melemahkan pembangkang, polis bertindak tegas seperti malaikat yang melaksanakan perintah Tuhan secara mutlak sebagaimana yang dirakamkan dalam sebuah ayat al-Quran yang bermaksud;
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batan, ia dijaga oleh para malaikat yang kasar lagi keras, sedikit pun tidak mengingkari perintah Allah dan melakukan apa sahaja yang diperintahkan.” (al-Tahrim: 6)
Dalam menguatkuasakan ISA ini, polis seolah-olah telah mempertuhankan orang yang memerintah undang-undang draconianitu digunakan, tanpa sebarang bantahan, seperti malaikat yang tidak membantah perintah Tuhan. Malaikat terpuji dengan sifat itu, tetapi manusia terkeji apabila bersifat seperti malaikat terhadap manusia lain yang diberi kedudukan seperti tuhan.
Tulisan ini tidak sekali-sekali berniat untuk memburukkan imej polis di mata masyarakat, tetapi dalam kes penahanan ISA akhir-akhir ini, untuk ke sekian kalinya mempamerkan imej yang buruk itu. Dan ini juga tidak menggambarkan semua unit polis, kerana unit-unit yang lain didapati menjalankan tugas dengan baik dan cemerlang demi ketenteraman rakyat. Sekiranya apa yang ditulis tentang penahanan ISA kali ini tidak benar, masyarakat akan menolak mentah-mentah tulisan ini. Saya juga sedar, dengan menulis rencana ini, bahawa saya terdedah kepada pendakwaan di bawah beberapa akta reka cipta penjajah (yang dikekalkan oleh rejim UMNO/BN) seperti Akta Hasutan dan Akta ISA sendiri. Tetapi demi Islam yang benar, demi Allah s.w.t. Tuhan sekalian alam, demi Muhammad s.a.w. yang membawa ajaran rahmat untuk seluruh alam, saya menggagahkan diri untuk mencegah kemungkaran ISA setakat kemampuan saya dengan cara ini.
4. Respon media kerajaan
Pihak kerajaan dan penyokongnya sudah pasti mengatakan penahanan di bawah ISA ini wajar, dan kesal kerana kerajaan kononnya dituduh mencabul hak asasi manusia. Para pengampu yang dulu pernah ditahan di bawah akta yang sama pun kali ini menyokong penuh penahanan lapan aktivis itu sambil memberi kepercayaan kononnya polis mesti bertindak berlandaskan ‘bukti kukuh’. Ini juga seolah-olah meletakkan pasukan polis sebagai satu pasukan ‘malaikat’ yang tak pernah silap. Polis buatlah apa sahaja pun, sudah pasti polis betul, walaupun gagal membuktikan tuduhan ke atas orang yang kena tahan.
Cuma seorang kolumnis Berita Harian (edisi 28 April 2001) yang agak rasional dalam kolumnya ‘Bila Sauh Dilabuh’. Wartawan veteran itu juga pernah diISAkan pada tahun 70-an selama hampir lima tahun tanpa tuduhan berasas dan sebarang perbicaraan. Beliau berpendapat bahawa ISA sering digunakan oleh pihak berkuasa untuk menentang suara yang tidak sehaluan, yang bukan komunis. Pihak yang memangsai beliau pada 70-an itu juga ialah para pemimpin UMNO, tegasnya. Dan UMNO itu jugalah yang menerkam dan menggigit mangsanya hari ini dengan kuku dan taring ISA.
Sedangkan inilah satu bentuk kediktatoran (istibdad) dan perhambaan (isti`bad), apa sahaja yang dilakukan oleh pihak yang ada kuasa, justifikasinya adalah benar dan betul. Rakyat juga wajib menerimanya sebagai betul dan adil. Demi Allah, inilah gambaran masyarakat manusia yang hidup di zaman Firaun dulu. Apa sahaja kata Firaun, maka dia pasti betul. Apa sahaja tindakan orang suruhan Firaun (al-Quran menamakan mereka sebagai al-Mala’), maka sudah pasti benar kerana mereka bertindak berasaskan ‘bukti kukuh’ dan ‘sah’ menurut timbangan undang-undang Firaun. Hari ini ISA adalah undang-undang yang sah menurut pertimbangan ISA yang diwujudkan di zaman ancaman komunis, BUKAN sah menurut perlembagaan negara, deklarasi hak asasi manusia, apatah lagi menurut prinsip keadilan Islam.
Keangkuhan mereka yang memiliki kuasa amat melampau. Cadangan sebuah suruhan jaya yang ditubuhkan khas oleh Parlimen untuk memantau kebebasan asasi di Malaysia (Suhakam) dalam sebuah negara demokrasi dikatakan hanya semata-mata cadangan dan kerajaan tidak terikat dengan cadangan itu. Ada pula yang mengatakan Suhakam tidak berhak mempertikai tindakan tidak demokratik orang suruhan kerajaan (polis), kerana kononnya Suhakam tidak diberi tanggungjawab menjaga keselamatan awam.
Polis pula nampaknya berdolak-dalik. Mula-mula KPN berkata boleh buat permohonan rasmi untuk bertemu dengan aktivis reformasi yang ditahan itu dan tiada masalah untuk menimbang permohonan yang mengikut prosedur (Utusan Malaysia, 13 April 2001). Kini, mahkamah diberitahu bahawa KPN tidak membenarkan lawatan terhadap tahanan kerana tidak mahu menjejaskan siasatan (Mingguan Malaysia, 29 April). Apakah jenis siasatan pun kita tak tahu, sehingga nak bertemu dan melihat sekejap mangsa tahanan pun tak boleh. Apa yang hendak disiasat sehingga perlu ditahan selama 60 hari tanpa arahan hakim di mahkamah, melainkan pegawai polis itu sendiri yang menjadi hakim dan menjatuhkan hukuman 60 hari penjara. Cuma kita pernah dengar daripada bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd Said Awang memberitahu mahkamah bahawa polis mengamalkan teknik torture (fizikal dan mental) dan brainwash untuk mengubah pendirian mangsa kepada pendirian yang sama dengan kehendak polis. Ini dinamakan proses turn-over atau neutralise. Mungkin ini yang memerlukan masa sehingga 60 hari dan perbuatan kotor yang tiada peri kemanusiaan ini perlu dirahsiakan daripada pengetahuan awam, termasuk Suhakam.
Adakah polis memiliki sebarang hak untuk menyekat wakil Suhakam, ahli keluarga dan doktor daripada bertemu dengan tahanan ISA? Ataupun kerana ada sesuatu perkara yang hendak disembunyikan? Kemungkinan polis melakukan sesuatu di luar bidang kuasa dan undang-undang tidak dapat ditolak lagi apabila ada bukti kes mata lebam angkara perbuatan jahat orang yang berpangkat KPN juga (kini bekas). Jaminan mulut Timbalan KPN, Datuk Jamil Johari bahawa ‘semua tahanan selamat di bawah jagaan polis dan tiada siapa yang lebih selamat jagaannya daripada polis’, tidak mudah untuk diterima begitu saja. Ini memandangkan bekas KPN itu dulu pun bermanis muka di depan orang awam kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam jagaan polis dengan selamat dan beliau sihat walafiat. Sedangkan dia baru sahaja selesai memukul mangsa ISA sehingga pengsan dan lebam mata yang kesan deritanya ditanggung mangsa itu sehingga sekarang. (Sehingga saat ini diberitakan enam tahanan Isa tersebut telah dibenarkan bertemu anak isteri mereka)
Itulah dia gambaran nasib ‘penjenayah’ yang dihukum menurut ISA. Kesalahannya ialah memerangi kerajaan dengan senjata ‘lidah’ yang dianggap lebih bahaya daripada senjata api. Soalnya sekarang, (kalau benar demonstrasi jalanan mengancam keselamatan), sekiranya salah satu cadangan Suhakam (yang telah dicadangkan oleh Barisan Alternatif lama sebelum kewujudan Suhakam) diterima pakai, iaitu berkenaan hak berhimpun di tempat yang terkawal seperti stadium, dewan seperti di PWTC, tanah lapang hak persendirian dan lain-lain seperti yang dibenarkan kepada perhimpunan anjuran UMNO/BN, adakah para aktivis reformasi itu akan berarak dan berdemonstrasi lagi di tengah jalan? Tetapi kerajaan nampaknya tidak berani membenarkan perhimpunan aman di tempat yang terjamin keamanannya itu dengan menggunakan kuasa polis (tidak mengeluarkan permit perhimpunan) berbanding kalau perhimpunan itu anjuran UMNO/BN. Bahkan kalau anjuran UMNO/BN, tiada permit polis pun tidak dikira perhimpunan haram walaupun perhimpunan yang membakar api perkauman. Jadi perhimpunan yang tiada permit hanya haram untuk BA, tidak untuk UMNO/BN.
Lebih merimaskan lagi apabila ada orang yang berada di kelas intelek tetapi telah memberi pandangan yang mencemarkan intelektualismenya dengan mendakwa Suhakam menyusahkan kerajaan dan memberi pandangan yang sama dengan suara minoriti iaitu pembangkang (kenyataan seorang menteri luar yang berkelulusan undang-undang). Kenyataan ini telah membodohkan si penanya dan si penjawab yang mengadakan wawancara yang disiarkan oleh sebuah akhbar perdana yang tabiatnya menyiarkan berita politik yang meloyakan dengan perencah pembohongan (seperti mengatakan John R. Mallot dan para pemimpin BA menghadiri ‘pertemuan sulit’ KeADILan di Kuala Lumpur). Para wartawannya pula nampak terlalu bodoh dan kehingusan tentang undang-undang perlembagaan apabila mengemukakan soalan (sebenarnya pegangan) di depan Timbalan Pengerusi Suhakam kononnya ‘Suhakam jelas hanya condong kepada pihak pembangkang sahaja’ dan mendakwa ‘Suhakam sebagai lebih sudu daripada kuah’. (Lihat Mingguan Malaysia, 29 April 2001)
Namun inilah mentaliti pihak kerajaan dan para penyokong kerajaan. Mereka seolah-olah telah menelan kepercayaan bahawa kerajaan yang ada hari ini adalah sebuah kerajaan yang diturunkan dari langit (the revealed rulers) atau pemimpin kerajaan itu semua telah dilahirkan, bahkan telah ditakdirkan sejak azali untuk menjadi pemimpin kerajaan Malaysia, bukan menjadi kerajaan atas dasar pilihan raya demokrasi dan mereka hanyalah wakil-wakil kepada rakyat yang berkuasa. Oleh itu, rakyat tidak harus membantah atau merentangi arus perdana kerajaan ‘yang diturunkan dari langit’ walaupun kerajaan berada dalam situasi yang salah (antara kesalahannya ialah mengekalkan ISA yang zalim dan bercanggah dengan nilai keadilan sejagat). Pihak penyokong kerajaan seolah-olah telah menjadikan diri mereka berfikir seperti hamba kulit hitam di Eropah yang mempercayai bahawa tuan mereka tidak boleh dilawan kerena tuan itulah yang memberi mereka makan. Macam mana zalim pun tuan itu, dia mesti dipatuhi. Kalau tidak si hamba tidak boleh hidup, kerana bekalan makanan hanya terdapat di tangan si tuan.
Ini sebenarnya satu bentuk pengabdian kepada al-Toghut (iaitu segala perkara selain Allah s.w.t. yang ditaati tanpa soal), sedangkan setiap rasul diutuskan kepada setiap umat untuk menghapuskan pengabdian kepada al-Toghut ini. Maksud firman Allah s.w.t:
Sesungguhnya Kami telah utuskan rasul bagi setiap umat untuk menyeru supaya mengabdikan diri kepada Allah dan menjauhi al-Toghut…” (al-Nahl: 36)
5. ISA undang-undang draconian zaman purba dan pertengahan
Raja Namrud, dinasti Firaun dan pemerintahan Raja-Paderi (atau King-Pope) di Eropah terkenal dalam sejarah manusia mengamalkan undang-undang memaksa rakyatnya tunduk tanpa soal kepada pemerintah, peraturan siapa berkuasa dia pasti betul. Cuma mereka mungkin tidak mempunyai undang-undang yang bertulis seperti ISA di Malaysia dan beberapa negara lain.
Pemerintahan campuran King-Pope zaman pertengahan di Eropah (antara 500 – 1500 Masihi) mengamalkan peraturan rakyat wajib mengikut pendapat pemerintah sehingga diwujudkan Court ofInquisition (Mahkamah Pemeriksaan) untuk memastikan rakyat taat tanpa sebarang soal. Sesiapa yang didapati ataupun disyaki mengeluarkan pendapat bertentangan dengan pemerintah akan dihukum bunuh termasuk dibakar hidup-hidup. Ramai saintis dihukum bunuh atau penjara kerana mengeluarkan pendapat baru yang bertentangan dengan arus perdana istana-gereja. Inilah antara faktor yang membangkitkan rakyat melakukan revolusi dan reformasi agama pimpinan Martin Luther pada 1517 untuk menentang pemerintahan istana yang dicorakkan oleh gereja. Akhirnya masyarakat Eropah menukar sistem pemerintahan daripada beraja mutlak (sistem feudal) kepada demokrasi bebas dan daripada beragama di bawah payung gereja kepada sekularisme yang membuang agama acuan gereja.
ISA adalah umpama peraturan yang diamalkan oleh Court of Inquisition di Eropah dulu. Polis-polis yang menguatkuasakan peraturan ISA itu adalah sama dengan para Inquisitors yang merisik, menangkap, mengurung dalam bilik gelap, menyiksa tanpa peri kemanusiaan dan menafikan hak bertemu keluarga dan membela diri bagi orang tahanan. Penderaan fizikal dan mental dilakukan selagi tahanan tidak mengaku salah atau berjanji untuk mengubah pendirian.
Polis Cawangan Khas di Malaysia menamakan proses pemeriksaan/siasatan Inquisitor ini sebagai proses neutralise atauturn-over. Hak untuk menangkap tanpa waran diberikan kepada polis hanya berdasarkan syak, bukan bukti. Tempoh tahanan untuk proses ‘siasatan’ yang sebenarnya neutralise dan turn-over itu memakan masa sehingga 60 hari tanpa arahan mahkamah. Tempoh 60 hari itu hakikatnya adalah ‘hukuman’ yang dijatuhkan oleh polis, bukan tempoh siasatan. Undang-undang perlembagaan tidak membenarkan seseorang warganegara ditahan tanpa arahan majistret melebihi tempoh 24 jam (tidak termasuk masa perjalanan yang perlu) dan orang itu tidak boleh ditahan selanjutnya dengan tiada kuasa majistret itu (Perkara 5 Fasal 4, Perlembagaan Persekutuan).
Selepas itu Menteri Dalam Negeri boleh mengarahkan supaya tempoh tahanan disambung maksimum dua tahun-dua tahun jika menteri itu ‘berpuas hati’ bahawa tahanan adalah ‘perlu’ untuk mencegah tindakan yang ‘mengancam keselamatan negara’. Di sini menteri pula berkuasa menjadi hakim yang menjatuhkan hukuman penjara, juga tanpa hak untuk membela diri bagi tertuduh. Ini juga bertentangan dengan Perlembagaan seperti tersebut di atas.
6. ISA dari perspektif Islam
Berbalik kita kepada persoalan ISA dari perspektif Islam. Bagaimanakah pendirian Islam terhadap undang-undang atau akta yang sebegini menindas rakyat yang tidak sehaluan dengan kerajaan? Apakah ada dalam peruntukan syariat Islam sebarang hukum yang membenarkan pihak kerajaan melakukan tangkapan dan tahanan tanpa bicara terhadap yang tertuduh?
Untuk menjawab persoalan ini, kita terpaksa membuka Al-Quran, kitab hadis dan kitab feqah tentang hukum dan peraturan dalam hubungan rakyat-pemerintah.
Al-Quran memerintahkan supaya para pemerintah yang mewakili rakyat ditaati selepas ketaatan kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w. Allah s.w.t. berfirman maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, taatilah kamu kepada Allah, taatilah kamu kepada Rasul dan Ulil Amri (wali, penjaga, ketua dan pemerintah) di kalangan kamu, sekiranya kamu berselisih pendapat dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu merujuk Allah (al-Quran) dan Rasul (al-Sunnah) sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat…” (al-Nisa’: 59)
Dalam mentaati Ulil Amri ini, sudah tentu bukan ketaatan yang mutlak kerana sekiranya begitu, ia (Ulil Amri) itu telah menjadi al-Toghut dan ini bertentangan dengan kehendak ayat al-Nahl: 36 yang dibawakan sebelum ini. Sedangkan ketaatan kepada Allah dan Rasul itu tidak boleh dijual beli atau dikompromi dengan sesuatu apa pun. Itulah keimanan yang sejati. Ketaatan yang dikompromi dengan selain Allah dan Rasul adalah ketaatan puak munafiqin yang berpura-pura beriman di atas kekufuran yang diselindungi.
Jadi Ulil Amri yang wajib ditaati ialah pemerintah yang telah taatkan Allah dan Rasul sedangkan dia tidak mengeluarkan perintah melainkan yang bertepatan ataupun tidak bercanggah dengan perintah Allah dan Rasul sahaja. Tatkala Ulil Amri itu mengeluarkan perintah atau undang-undang yang bercanggah dengan peraturan Islam, maka tiada lagi ketaatan kepada Ulil Amri itu, bahkan haram mentaatinya melainkan dalam keadaan terpaksa seperti diugut bunuh. Ini adalah hukum untuk semua orang Islam, termasuklah polis. Ini bertepatan dengan ajaran baginda s.a.w. dalam sebuah hadis yang bermaksud:
Tiada ketaatan dalam keadaan maksiat kepada Allah, ketaatan hanyalah dalam perkara makruf” (Sahih Al-Bukhari 9/109; Sahih Muslim, Bab al-Imarah 8/39; dan lain-lain)
Sebagai sebuah agama yang lengkap, Islam tidak mengabaikan perbincangan hukum dalam hubungan rakyat -pemerintah. Bahkan ada bab khusus yang membahaskan persoalan ini dalam kitab feqah yang dikarang oleh ulama Islam sebagai susunan kepada perundangan lengkap yang wujud secara berselerak dalam al-Quran dan hadis. Bab tersebut dinamakan Bab al-Bughah (Bab Tentang Pemberontak Bersenjata) dalam kitab-kitab feqah.
Dalam membincangkan bab ini, satu hakikat yang wajib disedari ialahUlil Amri ketika zaman ulama penulis kitab-kitab itu merupakan pemerintah yang sedang mentadbir sebuah daulah (negara) Islam dengan mendaulat al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber perundangan dan pentadbiran mereka.(Perlu disebutkan bahawa sistem khilafah yang bertunjangkan al-Quran dan al-sunnah telah dihapuskan secara rasmi oleh si laknat Mustafa Kemal Attartuk pada Mac 1924). Walaupun di kalangan khalifah yang menjadi pemerintah ketika itu ada yang disejarahkan sebagai zalim atau fasiq (tanpa pengesahan jelas tentang kezaliman mereka selain daripada tulisan para penulis buku sejarah), namun perundangan masih bersumberkan dua sumber wahyu Allah s.w.t. itu.
Ulil Amri umat Islam hari ini amat jauh berbeza kerana mereka bukan lagi menjalankan amanah rakyat di bawah daulah Islam, tetapi negara moden dengan sistem pentadbiran sekular yang dianugerahkan oleh penjajah kepada mereka setelah penjajah selesaikan ‘tugas’ mereka di tanah jajahan. Antara ‘tugas’ penjajah ialah (1) menyelenggarakan undang-undang di tanah jajahan berdasarkan restu kerajaan mereka; (2) menyediakan pelapis daripada kalangan anak tempatan yang mampu menyambung proses sekularisasi mereka selepas anugerah ‘kemerdekaan’. Para pelapis ini disediakan melalui sistem pendidikan dan media; dan (3) meninggalkan undang-undang (seperti undang-undang ISA) yang boleh memelihara survival kerajaan baru yang dikuasai oleh anak tempatan yang dididik mereka. Ulil Amri kini lebih berkiblatkan kemajuan barat daripada berkiblatkan petunjuk al-Quran dan sunnah. Bahkan ada antara mereka yang mencela perundangan Islam yang terhasil daripada petunjuk wahyu itu.
Apabila demikian kedudukan Ulil Amri umat Islam hari ini, maka mereka tiada hak lagi bagi mereka untuk mewajibkan ketaatan daripada rakyat berdasarkan ayat al-Nisa’: 59 itu.
Ulil Amri kini meneruskan penggunaan undang-undang zalim yang digunakan di zaman pemerintahan beraja dan diktator berkuku besi yang memaksa rakyat tunduk tanpa soal kepada pemerintah. Rakyat tidak mampu menyoal ‘kenapa?’, apatah lagi untuk berkata ‘tidak!’ terhadap kehendak pemerintah.
7. Al-Bughah dalam perundangan Islam
Hukum tentang al-Bughah (pemberontak/penceroboh) dalam perundangan Islam ditetapkan oleh ayat 9 Surah al-Hujurat yang bermaksud:
Dan sekiranya dua kumpulan orang beriman saling berperang maka damaikanlah antara kedua-duanya, jika salah satu kumpulan telah menceroboh ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang menceroboh itu sehingga ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan menceroboh). Jika ia telah kembali, maka damaikanlah kedua-duanya dengan adil, dan berlaku saksamalah, sesungguhnya Allah suka orang-orang yang melakukan kesaksamaan.”
Dalam al-Sunnah juga terdapat beberapa hadis sahih tentang al-Bughah. Antaranya:
1. Daripada `Abdullah bin `Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
Sesiapa yang telah menghulurkan tangan dan hatinya (memberi bai`ah/kesetiaan) kepada seseorang pemimpin, maka hendaklah dia mentaatinya selagi termampu. Sekiranya datang seorang lain yang cuba menentangnya (memerangi pemimpin yang dibai`ah itu) maka pancunglah kepala penentangnya itu.” (Riwayat Muslim)
2. Daripada Ibn `Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
Sesiapa yang melihat sesuatu perkara yang tidak disukai daripada ketuanya maka hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang berpisah daripada jamaah walaupun sejengkal lalau dia mati maka matinya adalah mati jahiliyyah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
3. Daripada `Awf bin Malik al-Asyja`ie beliau berkata, “aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
Sebaik-baik pemimpin kamu ialah yang kamu kasihi mereka dan mereka kasihi kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan untuk kamu. Seburuk-buruk pemimpin ialah yang kamu benci mereka dan mereka bencikan kamu, kamu laknat mereka dan mereka melaknat kamu.” Kami berkata, “Wahai Rasulullah, bolehkah kami memerangi mereka?” Baginda menjawab, “Jangan! Selagi mereka bersembahyang bersama kamu kecuali orang yang diperintah oleh seorang pemimpin yang melakukan maksiat, maka hendaklah dia membenci maksiat yang dilakukan itu dan jangan sekali-kali mencabut ketaatan.” (Riwayat Muslim, Ahmad dll.)
4. Daripada Huzayfah bin al-Yaman r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
Akan ada selepasku para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak melakukan sunnahku. Akan ada di kalangan kamu pemimpin yang hatinya seperti hati syaitan dalam jasad manusia.” Aku (Huzayfah) bertanya, “Bagaimana harus aku lakukan jika aku sempat dengan suasana itu wahai Rasulullah?” Jawab baginda, “Kamu dengar dan taat walaupun dia (pemimpin itu) menyebat kamu dan mengambil harta kamu, hendaklah kamu dengar dan taat.” (Riwayat Muslim, al-Bayhaqi dll.)
5. Daripada `Ubadah bin al-Somit beliau berkata,
Kami telah membai`ah Rasulullah s.a.w. untuk dengar dan taat dalam keadaan kami suka atau benci, kami senang atau susah, mengutamakan pemimpin daripada diri kami dan untuk tidak menentang pemimpin melainkan terdapat kekufuran yang jelas hukumnya dalam agama Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
6. Daripada Abu Dzar bahawa Rasulullah s.a.w. berkata,
Wahai Abu Dzar, bagaimanakah kamu sekiranya nanti kamu berada di bawah pemimpin yang tamak dan tidak membahagikan harta al-faie ini?” Jawab Abu Dzar, “Demi Allah yang mengutuskan tuan dengan kebenaran, aku akan pikulkan pedang atas bahuku dan memeranginya sehingga aku bertemu tuan.” Baginda pun bersabda, “Mahukah jika aku tunjukkan kepadamu yang lebih baik daripada itu? Iaitu engkau bersabar sehingga engkau menemuiku.” (Riwayat Imam Ahmad, dalam sanadnya terdapat perawi bernama Khalid bin Wahaban, Ibnu Hibban menthiqqahkannya manakala Abu Hatim pula mengatakannya majhul)
Semua hadis di atas dan beberapa hadis lain yang berkaitan boleh didapati dalam kitab Nayl al-Awtor (7/171-173) oleh Imam al-Syawkani, kitab al-Tasyri` al-Jinai al-Islami (2/671-673) karangan Syeikh Dr. Abdul Qadir `Awdah dan juga kitab-kitab lain.
Terdapat beberapa takrifan yang dibuat oleh ulama Islam tentang al-Bughah (pemberontak bersenjata) seperti di bawah:
1. Mazhab Hanafi mentafrifkan al-Bughah sebagai ‘orang-orang yang keluar daripada mentaati pemimpin yang sah secara tanpa hak (tidak sah)’ (Hasyiyah Ibn `Abidin, 3/426; Syarhu Fath al-Qadir, 4/48)
2. Mazhab Maliki pula mentakrifkannya sebagai ‘sekumpulan orang Islam yang menentang pemimpin tertinggi (al-Imam al-A`zom) atau timbalannya untuk tujuan menghalang sesuatu hak yang wajib ke atasnya (al-Bughah) atau kerana pemimpin itu telah melakukan kesalahan.’ (Syarhu al-Zurqani, m.s. 60)
3. Al-Bughah pada mazhab Syafie pula bermaksud ‘orang-orang Islam yang menentang pemimpin secara kekerasan dan meninggalkan ketaatan atau enggan menunaikan hak yang wajib ke atas mereka, dengan syarat mereka (al-Bughah) itu memiliki kekuatan senjata, mempunyai alasan penentangan dan mempunyai ketua.’ (Nihayah al-Muhtaj, 8/382)
4. Manakala mazhab Hanbali pula mentakrifkannya sebagai ‘orang-orang yang keluar daripada mentaati pemimpin walaupun yang tidak adil, dengan alasan yang patut (ta’wil sa-igh) dan mereka mempunyai kekuatan senjata walaupun tidak mempunyai ketua.’ (Asna al-Matolib, 4/111)
5. Menurut mazhab al-Zahiri pula, ‘menentang pemimpin yang sah atas alasan yang salah dalam hal agama atau menentang kerana tuntutan keduniaan.’ (al-Muhalla, 11/97,98)
6. Syiah Zaydiyyah mentakrifkannya sebagai ‘orang yang berpegang bahawa pihaknya betul dan pemimpin salah lalu dia memeranginya dengan kumpulan yang ada kekuatan senjata.’ (al-Rawdh al-Nadhir, 4/331)
Dr. Abdul Qadir `Awdah berkata, “para ulama Islam tidak sekata dalam membuat takrifan tentang al-Bughah kerana mereka berselisih pendapat tentang syarat-syarat (bukan tentang rukun-rukun) sesuatu kumpulan itu boleh dikatakan melakukan pemberontakan terhadap kerajaan yang sah. Walau bagaimanapun mereka bertungkus-lumus berijtihad untuk melahirkan suatu takrif yang disepakati yang meliputi rukun-rukun asasi yang menyebabkan sesuatu penentangan itu dikira pemberontakan (al-Baghyu). Maka satu takrif atau definisi yang disepakati oleh seluruh ulama Islam tentang al-Bughah ialah ‘penentangan terhadap pemerintah secara kekerasan.’ Dari sini bolehlah dikeluarkan tiga rukun asasi terhadap jenayah al-Bughahiaitu (1) menentang pemerintah; (2) penentangan secara kekerasan atau bersenjata; (3) ada niat melakukan jenayah.” (atau dalam istilah undang-undang barat disebut mens rea) (Dr. `Awdah, al-Tasyri` al-Jinai al-Islami, 2/674)
Setelah ketiga-tiga rukun asasi ini wujud pada gerakan penentang pemerintah, barulah mereka dikira al-Bughah dan wajiblah pemerintah mencegah perbuatan mereka secara hikmah, bukan terus menahan tanpa bicara, mencedera atau membunuh mereka. Ini berdasarkan ayat 9 Surah al-Hujurat yang tersebut di atas yang pertama sekali memerintahkan supaya diadakan perdamaian. Perdamaian ini boleh dicapai dengan pertemuan, perbincangan, muzakarah dan soal-jawab supaya semua pihak berpuas hati. Peluang mesti diberikan secara saksama kepada kedua-dua pihak untuk menyatakan pendirian mereka kepada umum, bukan hanya satu pihak (pemerintah) yang boleh menggunakan kemudahan kerajaan (yang merupakan hak semua rakyat yang membayar cukai) seperti siaran tv dan radio, akhbar-akhbar perdana, stadium, dewan-dewan serba guna dan sebagainya. Sekiranya kemudahan itu tidak boleh diberikan juga kepada rakyat pembangkang, batalkan peraturan mengutip cukai ke atas mereka dan jangan menghalang mereka untuk mewujudkan kemudahan siaran suara mereka sendiri dengan sekatan permit.
Sekiranya peluang untuk mereka bersuara secara sah disekat sedangkan itu adalah hak mereka yang wajib ditunaikan pemerintah, maka ada di kalangan mereka yang tidak mampu lagi duduk diam lalu keluar beramai-ramai di jalan raya secara aman tanpa senjata, ketika itu mereka TIDAK dikira sebagai al-Bughah dan pemerintah tidak berhak menghalang mereka untuk bersuara.
Apabila memberikan rakyat bersuara secara sah itu merupakan kewajipan, maka kerajaan yang tidak menunaikan kewajipan itu adalah kerajaan yang fasiq dan zalim. Mentaati pihak yang fasiq dan zalim adalah tidak wajib, bahkan rakyat wajib mencegahnya daripada terus berlaku fasiq dan zalim.
Tentang perkara ini Ibn `Abidin menyebutkan dalam kitabnya al-Durr al-Muhtar yang terkenal dengan nama Hasyiyah Ibn `Abidin (3/430) bahawa “keengganan untuk mentaati pemerintah dalam perkara maksiat bukanlah al-baghyu (pemberontakan), sebaliknya adalah menjadi kewajipan setiap muslim untuk tidak taat dalam maksiat, kerana tiada ketaatan melainkan dalam perkara makruf….” (Dr. `Awdah, ibid, m.s. 675)
Tindakan aktivis reformasi keluar berdemontrasi disebabkan mereka tidak diberi ruang untuk bersuara secara sah seperti pihak kerajaan dan penyokongnya miliki. Apatah lagi apa yang mereka ingin suarakan ialah tentang ketidakadilan pemerintah dalam membuat pendakwaan di mahkamah, rasuah, penyelewengan wang rakyat, penyalahgunaan kuasa, skandal pihak atasan, dan yang terbesar sekali ialah kezaliman yang amat jahat ke atas seorang yang besar jasanya kepada negara dengan membuat tuduhan zina dan liwat tanpa saksi. Jadi mereka adalah pejuang kebenaran, penyeru makruf pencegah mungkar, bukanlah al-Bughah, pemberontak atau penceroboh.
Sebaliknya, berdasarkan Surah al-Hujurat: 9 itu, dalam konteks pertikaian sekarang, pihak pemerintahlah yang telah memberontak dan menceroboh hak rakyat untuk berhimpun secara aman di bawah jaminan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, perlembagaan negara dan seluruh agama dunia. Jika pemerintah telah melakukan pencerobohan, maka ayat itu menyuruh “…jika salah satu kumpulan telah menceroboh ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang menceroboh itu sehingga ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan menceroboh)…”. Maka berdasarkan mesej daripada al-Quran ini, wajiblah setiap orang yang mengaku beriman dengan al-Quran menentang kumpulan yang menceroboh (iaitu pemerintah) ke atas kumpulan yang lain (rakyat yang tidak sehaluan dengan pemerintah).
Dalam kitab yang sama Dr. `Awdah berkata lagi, “Antara perkara yang disepakati oleh seluruh mazhab dalam Islam, bahawa tidak harus pemerintah memerangi al-Bughah sebelum diketahui sebab penentangan mereka. Apabila mereka mendakwa tentang kezaliman dan penyelewengan dan mereka benar dalam dakwaan itu, maka menjadi kewajipan pemerintah menghapuskan dulu kezaliman dan penyelewengan itu. Selepas itu barulah pemerintah menyeru mereka supaya kembali taat dan mereka wajib kembali taat (selepas kezaliman dan penyelewengan dihapuskan). Jika mereka enggan, maka pemerintah berhak memerangi mereka…” (ibid, m.s. 679)
Kalau demikianlah prosedur menghadapi golongan pemberontak bersenjata yang diajar oleh Islam (al-Bughah), maka tindakan aktivis reformasi TIDAK SEDIKIT PUN menjadikan diri mereka sebagai al-Bughah yang harus dihapuskan oleh pemerintah. Ini berdasarkan sebab-sebab berikut:
1. Mereka tidak bersenjata dan tidak menentang secara kekerasan, sebaliknya hanya cuba bersuara dan ingin menyatakan kepada rakyat umum tentang pendapat mereka yang tidak mendapat tempat di arena siaran perdana.
2. Mereka keluar untuk memberitahu rakyat akan kezaliman dan penyelewengan pemerintah.
3. Mereka hanya mengajak rakyat menukar pemerintah secara demokrasi kerana pemerintah kini tidak mengubah kemungkaran dan maksiat walaupun setelah berpuluh tahun dinasihati.
4. Pemerintah tidak mencuba untuk menghapuskan terlebih dahulu kezaliman dan penyelewengan yang didakwa, sebaliknya teruskan memukul, menangkap dan memenjarakan rakyat yang berhimpun untuk menentang kezaliman dan penyelewengan itu.
Sekiranya mereka bukanlah al-Bughah seperti yang diperuntukkan dalam syariah Islam, maka perbuatan ‘agamawan’ UMNO (tidak sesuai untuk dinamakan ulama) menggunakan nas-nas hadis tentang hukuman al-Bughah seperti di atas adalah satu perbuatan menyelewengkan amanat Nabi s.a.w. dan cuba mengadakan pendustaan di atas nama Islam.
Nampaknya agamawan UMNO seperti Astora Jabat, Wan Zahidi WanTeh, Mustafa Taib dan suku-sakatnya dalam JAKIM dan YADIM kerap menggunakan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn `Abbas r.a. yang bermaksud “Sesiapa yang melihat sesuatu perkara yang tidak disukai daripada ketuanya maka hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang berpisah daripada jamaah walaupun sejengkal lalu dia mati maka matinya adalah mati jahiliyyah.
“Sesuatu perkara yang tidak disukai…” itu ditafsirkan oleh agamawan-agamawan terbabit sebagai semua perkara yang tidak disukai rakyat termasuk perkara maksiat dan kezaliman pemerintah. Menurut mereka, rakyat tidak harus sama sekali menentang pemerintah berdasarkan hadis ini. Rakyat kena bersabar sahaja.
Ini merupakan satu pendustaan dalam agama. Sebab pendustaan ini dilakukan mungkin kerana mereka jahil atau tidak cukup ilmu atau cuai tentang hadis lain yang mengkhususkan hadis ini, walaupun mereka tidak akan mengaku kejahilan mereka. Kalau benar mereka tidak jahil tentang hadis yang mengkhususkan itu dan mereka mengetahui serta sedar akan maknanya, maka sesungguhnya mereka telah melakukan kesalahan yang besar iaitu menjual agama Allah s.w.t. dengan dunia yang sedikit.
Kita mengatakan mungkin mereka jahil kerana mereka gagal menyelaraskan hadis yang membawa makna umum di atas dengan hadis yang mengkhususkan makna umum itu. Ajaran mereka itu menyebabkan berlaku percanggahan antara nas-nas yang sahih. Cuba kita lihat satu hadis lain yang boleh difahami sebagai bercanggah dengan hadis daripada Ibn `Abbas di atas jika tidak dilakukan penyelarasan antara hadis yang umum dengan hadis yang khusus. Hadis itu ialah yang bermaksud;
Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangan, kalau tidak mampu, dengan lidah, kalau tidak mampu, dengan hati, yang demikian itu (cegah dengan rasa benci di hati) adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim daripada Abu Sa`id al-Khudri)
Apakah mungkin Rasulullah s.a.w. mengajar umat Islam dua perkara yang bertentangan? Dalam hadis Abu Sa`id al-Khudri ini baginda menyuruh sesiapa yang melihat kemungkaran (tanpa menyebut siapa yang melakukan kemungkaran itu) hendaklah dia mencegahnya setakat kemampuannya sama ada dengan tangan (kekuatan) atau lidah atau hati. Tetapi mencegah dengan hati adalah selemah-lemah iman. Adakah mungkin baginda menyongsang ajaran baginda sendiri dengan menyuruh supaya bersabar sahaja terhadap kemungkaran pemerintah sehingga mengkritik (mencegah dengan lidah) pun tidak boleh? Tidak mungkin!
Sebaliknya bila diteliti betul-betul keumuman makna “sesuatu perkara yang tidak disukai…” dalam hadis riwayat Ibn `Abbas itu khusus untuk perkara-perkara yang bukan kemungkaran seperti bentuk fizikal atau asal keturunan seseorang pemerintah itu. Ada pun bila pemerintah sendiri melakukan kemungkaran (yang sudah pasti rakyat yang beriman tidak menyukainya), maka mencegahnya dengan lisdah dan hati adalah wajib. Ini diperkuatkan lagi oleh sebuah hadis sahih yang lain yang bermaksud;
Dengar dan taatlah, walaupun pemerintah yang dilantik ke atas kamu merupakan seorang hamba kulit hitam yang kepalanya berbentuk seperti sebiji anggur.” (Riwayat al-Bukhari daripada Anas bin Malik)
Sifat-sifat fizikal luaran pemerintah inilah yang dimaksudkan dengan “sesuatu perkara yang tidak disukai…” dalam hadis Ibn `Abbas tadi, iaitu sesuatu perkara yang tidak disukai oleh rakyat tetapi bukan termasuk kemungkaran. Jadi hadis Ibn `Abbas itu ialah hadis umum yang makna sebenar hanya boleh difahami secara betul setelah dikhususkan oleh hadis Anas bin Malik tersebut. Kalau tidak dikhususkan, ia boleh bercanggah dengan maksud hadis Abu Sa`id al-Khudri pula. Dalam ilmu Usul al-Fiqh, percanggahan makna antara dua atau lebih nas yang sahih sebegini dipanggil al-ta`arudh. MasalahAl-ta`arudh ini mesti diungkai supaya semua nas yang sahih dapat diamalkan (ma’mul bihi)dan tiada mana-mana nas sahih yang terabai (muhmal). Tidak menjadi masalah kalau nas yang bercaggah itu adalah antara yang sahih dengan yang dhaif, kerana yang dhaif itu boleh dibuang terus. Tetapi jika kedua-duanya adalah nas yang sahih, maka adalah wajib ke atas orang yang beriman beramal dengan semua perintah wahyu yang sahih. Soalnya, bagaimana hendak beramal jika antara kedua-duanya ada percanggahan? Inilah yang perlu diselesaikan secara penyelarasan atau menghimpunkan (al-jam`u) antara nas-nas itu, iaitu nas yang umum dihimpunkan bersama nas yang khusus lalu dikeluarkan makna yang paling dekat dengan tujuan umum syariat (maqasid syar`iyyah).
Di sinilah terletak peri pentingnya kefahaman mendalam terhadap ilmu Usul al-Fiqh sebelum berhujah dengan mana-mana nas. Jika tidak, seseorang itu akan dilihat terumbang-ambing bila dibacakan nas lain yang bercanggah dengan maksud umum yang tidak dikehendaki dalam syariah. Inilah antara punca agamawan UMNO tidak stabil bila berhujah dan lebih suka berucap secara sehala kerana tidak berani menghadapi soalan daripada audiens. Kalau ada soal-jawab pun, jawapannya dilencongkan ke tempat lain daripada kehendak soalan si penyoal.

8. penutup

Berdasarkan perbahasan di atas, bolehlah disimpulkan perkara-perkara di bawah:
i. Para aktivis dan penyokong gerakan reformasi yang berhimpun untuk membantah kezaliman dan penyelewengan kerajaan tidak boleh dikira sebagai pemberontak atau perusuh (al-Bughah) kerana mereka hanya menyuarakan pandangan yang lain daripada pihak kerajaan secara aman.
ii. Menggunakan hadis-hadis yang berkenaan hukum al-Bughah ke atas mereka seperti yang dilakukan oleh agamawan UMNO adalah perbuatan cuba menyelewengkan nas-nas agama untuk kepentingan pemerintah dengan balasan keduniaan.
iii. Penggunaan polis FRU untuk memukul, menendang, memancut air gatal terhadap penyokong reformasi dan penggunaan ISA untuk menceroboh rumah, menggeledah, merampas harta benda, menangkap tanpa waran dan menahan mereka tanpa bicara adalah tidak sah dan bertentangan dengan Islam. Dengan melakukan tindakan sedemikian polis telah memperhambakan diri kepada manusia yang melanggar perintah Allah s.w.t.
iv. Undang-undang draconian seperti ISA, Akta Hasutan dan seumpamanya (yang memelihara kepentingan pemerintah, bukan rakyat) adalah batil dan bercanggah dengan Islam serta haram mempertahankannya. Undang-undang seumpama itu hanya diamalkan ketika pemerintahan beraja berkuku besi zaman sebelum Islam dan juga zaman pertengahan di Eropah.
v. Menentang ISA (yang merupakan antara peraturan penjajah yang dikekalkan oleh UMNO/BN) adalah kewajipan setiap orang yang mengaku muslim dan setiap orang yang percayakan prinsip keadilan sejagat.
vi. Tidak harus rakyat menolong pemerintah yang zalim untuk menundukkan sekumpulan rakyat yang menentang kezaliman itu kerana itu bermakna tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan, bahkan menurut mazhab Malik, adalah wajib rakyat menolong penentang kerajaan yang zalim. (Syarhu al-Zurqani, 8/60)
Pelancaran Anti-ISA Movement (AIM) oleh Barisan Alternatif dan NGO adalah ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia. Semoga dengan munculnya gerakan seperti ini, rakyat akan sentiasa ingat kezaliman dan penderaan yang dialami oleh mangsa ISA, seterusnya membangkitkan semangat membenci dan menentang dalam jiwa mereka dan mereka tidak mudah lupa peristiwa lagi.
Akhir sekali saya memohon maaf di atas kelewatan menyiapkan rencana ini. Janji untuk menyiapkannya dalam masa beberapa hari hanya terlaksana setelah sebulan berlalu, disebabkan halangan-halangan yang tidak mampu saya elakkan. Inilah sahaja sumbangan kecil saya untuk membela mangsa ISA selama ini dan juga ahli keluarga mereka yang saya ibaratkan sebagai ‘seberat-berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul’.
Sekian salam sejahtera daripada saya, wassalam `ala man ittiba`a al-huda.