Persoalan dan Jawapan sekitar Falsafah keTuhanan
Tiada siapa tahu bila bermulanya sejarah awal manusia mempersoalkan konsep keTuhanan. Barangkali sejarah tersebut selama usia sejarah penciptaan manusia itu sendiri. Ahli falsafah seperti Xenophanes (c570 - ?475 BC) yang mendahului Socrates sendiri pernah berkata: “Sekiranya kuda itu boleh melukis, nescaya dia akan melukis tuhan mereka seperti kuda”. Malah isu keTuhanan telah berlangsung lama mungkin sebelum kewujudan ilmu falsafah lagi.
Namun, suatu perkara yang jelas, setiap agama mempunyai konsep akidah dan prinsip yang berbeza dalam menjelaskan perkara mengenai keTuhanan, walaupun secara dasarnya ia akan kembali kepada mengakui akan adanya satu entiti yang Maha berkuasa mengatur cara hidup mereka.
Artikel ini dibawakan bagi menjelaskan serba sedikit isu dan konsep keTuhanan dari pandangan Islam dan bagaimana Islam menjawab persoalan yang sering dikemukakan oleh ahli falsafah dari zaman ke zaman. Persoalan ini nampak mudah. Namun, jawapannya berbeza mengikut, seperti yang saya sebutkan sebelum ini, pemahaman kepada konsep keTuhanan menurut pandangan manusia. Dua persoalan yang sering berlegar di dunia perdebatan ahli falsafah ialah:
1. Sekiranya Tuhan yang menciptakan kita, maka siapakah pula yang menciptakan Tuhan?
2. Sekiranya Tuhan itu entiti yang Maha Berkuasa, bolehkah Dia menciptakan satu batu yang dia sendiri tidak boleh mengangkatnya? Sekiranya boleh dan Dia tidak boleh mengangkatnya, Dia lemah kerana tidak boleh mengangkat batu tersebut. Sekiranya Dia tidak boleh menciptakan batu seumpama itu, Dia juga lemah kerana Dia tidak boleh mencipta batu yang tidak terangkat. Dengan kata lain, menurut ahli falsafah ini, Tuhan itu lemah.
Penjelasan kepada persoalan ini hanya akan dibawakan dari sudut pandangan Islam dan bukannya dari agama yang lain. Oleh kerana itu, sebelum sebarang cubaan menjawab persoalan ini dilakukan, adalah penting untuk kita melihat konsep keTuhanan yang dibawakan oleh Islam kepada umatnya.
Konsep keTuhanan umat Islam
Akidah umat Islam mempercayai bahawa segala-galanya di langit dan bumi ini adalah objek ciptaan Allah swt. Allah adalah pencipta (al Khalik) dan selainNya adalah perkara yang dicipta (makhluk). Selain Allah ini termasuklah langit dan bumi, isinya malah terangkum sekali “ruang”dan “masa” (space and time).
Persoalan dan jawapan Tuhan-makhluk dapat disimpulkan (antara lain) seperti berikut:
S: Apakah Tuhan?
J: Entiti yang tidak bergantung kepada makhluknya. Ia tanpa awal dan akhir.
S: Apakah dia makhluk?
J: Entiti yang bergantung dengan Tuhannya dan saling juga bergantung dengan makhluk yang lain. Ia mempunyai awal dan akhir atau sekurang-kurangnya mempunyai asal awal penciptaan walaupun tanpa pengakhiran (seperti syurga dan neraka).
Maka berbeza dengan fahaman sesetengah agama Kristian atau agama lain yang mengatakan bahawa Tuhan “tinggal” di dalam alam semesta ini dan oleh kerana itu alam ini statik tanpa ada permulaan dan pengakhiran, seperti hakikat Tuhan itu juga, Islam mengajarkan akidah bahawa Allah tidak “hidup” pada alam semesta atau alam dunia ini. Semuanya, termasuk alam semesta adalah mahkluk ciptaanNya dan Dia tidak terikat kepada subjek ciptaanNya sendiri.
Alam ini adalah makhluk dengan dalil, di antara lain, dari surah al Anbiya’ ayat 16 dan ayat 19:
“Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dengan bermain-main” (al Anbiya’ : 16)
“Dan kepunyaanNyalah segala yang berada di langit dan dibumi.” (al Anbiya’ : 19)
Ini dibuktikan oleh teori sains moden kini termasuk penghasilan formula general relativity Einstein (walaupun dia cuba menafikan formula penemuannya sendiri kerana akidahnya menyatakan alam ini statik – yakni tidak bermula dan berakhir) dan pakar matematik, David Hilbert yang mengatakan bahawa masa dan ruang itu tidak berasingan dengan alam semesta dan setiap makhluk di dalamnya. Ia berkait rapat dan saling perlu memerlukan. Model matematik general relatitvity ini meramal akan wujudnya pengawalan dan pengakhiran bagi alam semesta, ruang dan masa ini. Ini dibuktikan oleh saintis Roger Penrose dan Stephen Hawking melalui tinjauan alam semesta dan perkiraan berasaskan formula general relativity Einstein. Ini sekaligus membatalkan teori awal alam semesta Euclid yang menulis buku Elements of Geometry pada sekitar 300 B.C. Teori ini juga memansuhkan teori ruangmasa Isacc Newton yang berusia lebih 200 tahun dalam bukunya Principia Mathematica yang diterbitkan pada tahun 1687. Antara lain Newton menyebut bahawa masa dan alam semesta adalah entiti yang tidak ada permulaan dan akan kekal selama-lamanya.
Penemuan ini membawakan saintis seperti Hawking untuk menamakan permulaan alam semesta sebagai Big Bang dan ia bakal berakhir dengan Big Crunch dimana seluruh alam semesta, bintang, planet-planet, astroid dan sebagainya ini akan berhenti dari mengembang dan akan bercantum semula, selari dengan konsep kiamat bagi umat Islam berdasarkan ayat berikut:
“Apabila matahari digulung. Apabila bintang berguguran. Apabila gunung ganang beterbangan seperti fatamorgana” (At Takwir : 1-3) (lihat juga surah-surah lain dari juzuk 30 Al Quran)
Teori Big Bang ini menyatakan bahawa sebelum berlakunya letupan besar tersebut, ruang dan masa (spacetime) sepertimana yang ada pada hari ini tidak dan belum lagi ujud. Hanya bilamana berlakunya letupan tersebut, barulah bermulanya ruang-masa dan juga segala undang-undang fizik, kimia, biologi dan sebagainya yang akhirnya mengatur carakan alam semesta ini.
Penemuan ini selari dengan ayat Allah swt yang berbunyi:
"Dan apakah orang kafir itu tidak melihat bahawasanya langit dan bumi itu dahulunya dicantumkan padu (Di dalam bahasa arabnya disebut ratq dan di dalam bahasa sainsnya dipanggil singularity atau kesatuan) dan kemudian Kami pecahkan keduanya (Di dalam bahasa arabnya disebut fatq atau dalam bahasa sainsnya Big Bang)” (Al Anbiya’ 21:30).
Dengan ini, di dalam Islam, akidah umat Islam menyatakan bahawa masa dan ruang itu adalah makhluk Allah swt. Apabila sesuatu itu adalah makhluk Allah, Allah tidak boleh menjadi subjek atau memerlukan makhluk tersebut kerana ia berada di luar logik atau undang-undang yang Allah sendiri telah tetapkan yakni – Al Khalik tidak boleh bergantung kepada makhluk (lihat makna Tuhan di atas). Ini kerana, sekiranya Al Khalik bergantung kepada makhluk, contohnya ia “hidup” di dalam kerangka ruang dan masa, maka ia tidak layak lagi dipanggil al Khalik, sebaliknya menjadi makhluk yang lemah kerana ia memerlukan sesuatu (lihat makna makhluk di atas).
Apakah dalil yang menyatakan bahawa masa itu juga adalah makhluk Allah dan Allah tidak terikat kepadanya? Ini berdasarkan ayat berikut:
Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. ( Al Asr: 1-2)
Ayat ini adalah konsisten dengan ayat yang lain, yang menjelaskan bahawa Allah bersumpah dengan makhluk ciptaanNya. Ini menunjukkan bahawa masa itu juga adalah makhluk yang Allah ciptakan bagi tujuan sebahagian dari program Allah terhadap kejadian alam. Ini selari dengan teori sains seperti yang telah dijelaskan di atas bahawa masa adalah makhluk yang mempunyai permulaan dan pengakhiran yang mana kerana konsep “Tuhan tidak memerlukan makhluk” yang disebutkan sebelum ini sekaligus membuktikan bahawa Tuhan tidak terikat kepada masa.
Akal manusia dan konsep Spacetime
Akal manusia sebenarnya amat terbatas. Terbatas dengan erti kata dibataskan oleh kerangka ruang dan masa. Manusia tidak boleh memikirkan sesuatu yang berada di luar ruang dan masa. Sekiranya dikatakan kepada kita sesuatu kejadian itu berlaku, segera akal kita akan menaakul persoalan di mana dan bila. Kita akan terbayangkan keadaan kejadian tersebut berdasarkan kerangka ruang dan masa.
Tetapi sekiranya kita katakan bahawa perang dunia ke dua berlaku bukan pada tahun 1942, bukan sebelumnya dan bukan selepasnya, akal kita akan mengatakan – Tidak logik! Maka kita katakan mustahil untuk ia berlaku. Tetapi si penyampai berita mengatakan, ia berlaku! Maka akal kita tidak boleh menerima kejadian tersebut kerana ia tidak berlaku di dalam frame masa yang ada.
Begitu juga dengan ruang. Kita katakan ada sebiji apel yang berada tidak di dalam kotak, juga tidak di luar kotak. Tetapi ia ada. Maka akal kita akan mati di situ dan mengatakan tidak logik. Mana mungkin sesuatu tidak berada di dalam kerangka ruang!
Begitulah perihalnya dalam memikirkan akan zat Allah swt. Ruangmasa adalah seperti sehelai kertas yang dibentangkan. Dari satu hujung ke hujung yang lain, itulah perumpamaan masa dan di antaranya adalah ruang yang menempatkan kita semua. Allah swt pula berada di luar kerangka ruangmasa tersebut. Maka akal kita tidak akan sampai untuk memikirkan tentang zatNya. Tetapi tidak bermakna Dia tidak wujud kerana sains sendiri membuktikan bahawa wujud keadaan yang tidak mempunyai ruang dan masa.
Menjawab persoalan ahli falsafah:
Dari konsep inilah kita dapat merangka jawapan bagi persoalan-persoalan di atas. Pertama sekali, untuk mendapat jawapan yang betul dan tepat, soalan itu sendiri perlulah betul dan tepat. Untuk mendapat soalan yang logik, soalan itu sendiri perlulah dirangka supaya ia menghala kepada jawapan yang logik. Sebaliknya kedua-dua persoalan ini walaupun pada susunan bahasanya betul, tapi dari segi logikanya ia sebenarnya tidak betul. Kita akan kaji secara mendalam di bawah nanti.
Kita akan kaji soalan ini berlandaskan konsep keTuhanan dari pandangan umat Islam yang telah dijelaskan sebelum ini. Adalah penting untuk kita berbuat demikian kerana, seperti yang saya telah jelaskan sebelum ini, konsep keTuhanan sesuatu agama itu berbeza di antara satu sama lain. Kita akan lihat sama ada soalan ini menepati logikanya sendiri atau ia patut diketepikan kerana ia tidak logik dan bermasalah. Soalan yang bermasalah dan tidak logik tidak akan dapat memberikan jawapan yang tepat dan logik. Itu logiknya.
Persoalan pertama: Siapakah yang menciptakan Tuhan?
S: Sekiranya Tuhan yang menciptakan kita, maka siapakah pula yang menciptakan Tuhan?
J: Menjawab persoalan ini, pertama kita katakan bahawa apabila si pemikirnya cuba meletakkan Tuhan setaraf dengan makhlukNya yang lain dia sebenarnya telah melanggar dan mencelarukan prinsip dan ‘undang-undang’ Tuhan-makhluk seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Kita mengatakan sekiranya Tuhan itu sudah setaraf dengan makhlukNya yang lain – yakni mempunyai awal dan akhir maka adakah ia masih Tuhan?
Maksudnya di sini, kerana sifat makhluk mempunyai awal dan pengakhiran atau paling kurang pun ia mempunyai awal penciptaan, maka layaklah ia digelar sebagai makhluk. Seperti yang dipersetujui bahawa Tuhan itu bukan makhluk, maka Tuhan tidak mempunyai sifat makhluk yakni di antaranya mempunyai awal dan akhir. Lantas Tuhan itu tidak diciptakan menjadikan persoalan “Siapa yang menciptakan Tuhan” adalah mustahil. Tuhan apabila mengambil ciri makhluk, ia bukan lagi Tuhan dalam kerangka prinsip yang telah kita bentangkan sebelum ini.
Namun begitu timbul lagi persoalan:
S: Maka bagaimana Tuhan ada kalau Dia tidak diciptakan?
J: Persoalan ini juga terjawab dengan apa yang kita sebut sebelum ini bahawa Tuhan hidup di kerangka metafizik dan tidak bergantung kepada ruang-masa dan undang-undang fizik/biologi/kimia makhluk. Ini kerana Tuhan yang subjek atau bergantung kepada ruang-masa atau undang-undang fizik tadi tidak layak menjadi Tuhan dan hanya layak menjadi makhluk lantas menjadikan ia bukan tuhan. Maka tidak logik, kalau Dia Tuhan yang tidak berawal dan berakhir tetapi diciptakan dan kemudian boleh menjadi Tuhan! Ia menyanggah teori logik itu sendiri.
Hakikat Tuhan tidak perlu diciptakan untuk Dia ada selari dengan konsep yang telah dijelaskan bahawa Dia tidak terikat kepada ruang dan masa dan juga undang-undang fizik/biologi/kimia menjadikan Dia tidak perlu pencipta untuk wujud. Hanya yang terikat dengan ruang-masa sahaja yang perlukan Pencipta. Tambahan lagi, kalau boleh ujud satu keadaan yang mana tidak ada ruang-masa sehingga manusia sendiri tidak boleh memikirkan keadaan tadi, tapi ia wujud sepertimana dibuktikan oleh sains, masakan tidak boleh ujud satu entiti yang tidak berawal dan tidak berakhir ini.
Akhir sekali, persoalan ini juga rapuh kerana ia salah dari logikanya sendiri. Katakan kita diberikan pernyataan:
“Ali telah memusnahkan batu yang tidak boleh dimusnahkan.”
Walaupun pernyataan ini betul dari segi bahasanya, tapi dari segi logiknya ia tidak logik dan tidak munasabah. Bagaimana batu yang tidak boleh dimusnahkan, telah dimusnahkan? Hakikat bahawa ia telah dimusnahkan oleh Ali telah menjadikan batu yang tidak boleh dimusnahkan tadi menjadi batu yang boleh dimusnahkan. Maka ia bukanlah batu yang tidak boleh dimusnahkan! Ia seperti pernyataan, burung boleh terbang. Kapal terbang boleh terbang. Maka kapal terbang ialah burung!. Betul dari segi bahasa, tapi salah dari segi logiknya.
Kesimpulannya:
Persoalan ini salah kerana ia sama seperti kita bertanyakan: Siapakah yang menciptakan Tuhan yang bukan makhluk dan tidak mempunyai Pencipta?
Premis 1: Hanya makhluk yang dicipta oleh pencipta
Premis 2: Tuhan bukan makhluk
Kesimpulan: Maka Tuhan tidak ada penciptaNya/tidak perlu pencipta.
Persoalan kedua: Mengangkat batu
S: “Sekiranya Tuhan itu entiti yang Maha Berkuasa, bolehkah Dia menciptakan satu batu yang dia sendiri tidak boleh mengangkatnya? Sekiranya boleh dan Dia tidak boleh mengangkatnya, Dia lemah kerana tidak boleh mengangkat batu tersebut. Sekiranya Dia tidak boleh menciptakan batu seumpama itu, Dia juga lemah kerana Dia tidak boleh mencipta batu yang tidak terangkat. Dengan kata lain, menurut ahli falsafah ini, Tuhan itu, cara bagaimana sekalipun adalah lemah.”
J: Persoalan panjang ini sebenarnya ringkas sahaja. Ia dapat dirumuskankan sebagai: “…bolehkah Dia (Tuhan) menciptakan satu batu yang dia sendiri tidak boleh mengangkatnya?”
Seperti yang saya utarakan sebelum ini, persoalan ini nampak benar dari sudut bahasanya, tapi tidak semetinya memenuhi undang-undang logika yang dikehendaki sendiri oleh sipenanya soalan. Keduanya, penjelasan mengenai perkara ini akan dilihat dari kaca mata akidah Islam.
Persoalan ini dapat dibahagikan dua pecahan berikut:
1. Bolehkah Tuhan menciptakan satu batu…
2. Yang Dia sendiri tidak mampu mengangkatnya?
Pecahan pertama memenuhi kerangka logik dan tidak wajar dipanjangkan penjelasannya. Sememangnya Tuhan mampu mencipta batu kerana batu itu salah satu dari ciptaannya. Tetapi bila sampai pada frasa yang kedua, ramai yang akan terkedu. Batu (ciptaanNya) yang Tuhan sendiri tidak mampu mengangkatnya?
Seperti yang saya utarakan sebelum ini, ia nampak benar, tetapi tidak semestinya ia logik. Ia juga nampak logik tapi tidak semestinya ia benar.
Pertama, perkara Tuhan mengangkat batu tidak akan dan tidak boleh berlaku walaupun Tuhan sendiri kehendaki. Ini kerana ia akan bercanggah dengan undang-undang fizik yang dicipta sendiri oleh Allah swt. Maksudnya di sini, telah dijelaskan sebelum ini bahawa Tuhan tidak terikat dengan ruang-masa atau undang-undang yang mengatur ruang-masa tersebut. Dengan mempersoalkan sama ada Tuhan mampu atau tidak mengangkat batu tersebut, kita telah mengikatkan Tuhan dengan undang-undang fizik, yakni subjek jisim dan jirim batu tersebut.
Bermakna, bilamana Tuhan telah disubjekkan dengan undang-undang makhluknya, kita telah menarik Tuhan didalam kerangka ruang-masa. Ini menjadikan prinsip bahawa Pencipta tidak boleh subjek kepada yang diciptakan tadi tadi telah dilanggar. Ia menjadi mustahil.
Keduanya, untuk melihat dari aspek yang lain, Tuhan adalah entiti metafizik yang tidak terikat pada fizik dan tidak boleh, secara prinsipnya juga, terikat kepada perkara fizik. Sementara itu, proses mengangkat batu adalah proses fizik yang tidak boleh tidak mesti dilakukan dalam realm atau kerangka alam fizik itu sendiri.
Kedua-dua perkara ini mustahil untuk terjadi. Mustahil bagi Tuhan untuk ‘masuk’ ke dalam dunia makhluk bagi mengangkat batu sebagaimana mustahil untuk undang-undang fizik angkatan batu makhluk tadi boleh diadakan di dalam dunia metafizik. Maka, sekiranya dua entiti ini tidak boleh bersatu dan berlaku, dengan sendirinya kejadian ini mustahil terjadi dan dengan sendirinya persoalan ini adalah salah dan gugur.
Di sini tidak timbul persoalan samada Tuhan itu boleh atau tidak mengangkat batu, tetapi apa yang dipersoalkan ialah kebenaran soalan itu sendiri dalam menghadapi persoalan logik akal manusia. Dengan kata lain, persoalan itu sendiri salah dari aspek logik dan perkiraan fizik dan matematik. Bukannya Tuhan tidak boleh masuk ke dalam dunia makhluk dan mengecualikan undang-undang alam (fizik, logik, kimia, biologi, dan sebagainya) yang diciptaNya sendiri, tetapi dengan berbuat demikian, Dia telah mengkucar-kacirkan undang-undang alam yang diciptakanNya. Apabila segala-galanya sudah kucar kacir, maka binasalah alam. Apabila binasa alam akan terbinasalah hukum logik manusia. Apabila terbinasa hukum logik manusia, soalan ini sendiri tidak akan timbul awalnya. Inilah kelebihan dan kebijaksanaan Allah swt.
Kesimpulan
Premis 1: Tuhan tidak terikat dengan ciptaanNya
Premis 2: Masa, ruang, undang-undang fizik adalah ciptaanNya
Premis 3: Mengangkat batu adalah undang-undang fizik, dilakukan dalam ruang dan masa
Kesimpulan: Menentukan sama ada Tuhan boleh atau tidak mengangkat batu akan mengikat Tuhan kepada ciptaannya. Menyalahi undang-undang logik itu sendiri.
Oleh: Tok Janggut
No comments:
Post a Comment